Ads Top

Selepas Gatal Jadi Viral, Janna Nick Kini Muncul Dengan Single Baharu Gatal Raya

Bukannya 1, bukannya 2, tetapi 3! Begitulah rancaknya penangan single ‘Gatal’ nyanyian bintang popular tanah air, Janna Nick yang tular di media sosial sehingga mendapat perhatian penduduk global, single tersebut kemudiannya diadun semula oleh seorang DJ antarabangsa terkenal dari Denmark dengan ‘Gatal (SMYLES Remix)’ dan yang terbaharu, ‘Gatal Raya’ pula diilhamkan bagi memeriahkan lagi sambutan Aidilfitri yang bakal tiba, terbitan label terkenal negara, Warner Music Malaysia.

Terdahulu, pada 25 Mac lalu, single Gatal (SMYLES Remix) telah pun dilancarkan, kata Janna: “Pihak Warner ada menyatakan idea bernas mereka untuk menghasilkan Gatal versi remix kerana sambutan yang sungguh luar biasa daripada pendengar muzik global, dan kebetulan SMYLES juga adalah artis di bawah naungan label yang sama.

Single rancak berentak pop moden yang sensual dalam tempo perlahan ini diberikan ‘nyawa’ baharu oleh SMYLES yang sememangnya pakar dalam penciptaan muzik berentak EDM. Pemuzik kelahiran Denmark dengan identiti yang agak ‘elusif’ ini nyata memberikan rasa ‘antarabangsa’ yang lebih bertenaga dan dinamik menerusi lagu ‘Gatal (SMYLES Remix)’.

“Nampaknya demam lagu Gatal belum lagi reda-reda, dan memandangkan sambutan luar biasa yang berterusan oleh peminat dengan jumlah tontonan sebanyak 6.6 juta di laman YouTube, pihak Warner mencadangkan agar single Gatal ‘dirayakan’ pula. 

“Komposer asal, Aepul Roza dipertanggungjawabkan semula menulis lirik dan menggubah muziknya sesuai dengan feel Raya,” jelas pemilik nama sebenar Nurul Jannah Muner, 26.

Lagu Gatal Raya berjaya dirakamkan dalam masa 2 jam sahaja di Studio Dramabois, manakala proses adunan serta suntingannya pula telah mengambil masa selama seminggu untuk dilaksanakan.

“Walaupun jadual seni saya agak padat, kami berjaya merakamkannya dalam masa yang singkat, ini kerana saya sudah pun bekerja dengan Aepul sebelum ini dan saya faham apa yang dikehendakinya ketika berada di dalam studio.

“Namun begitu, saya tidak berpeluang menghasilkan MV (video muzik) kerana kekangan masa, jadi kami akan melancarkan audio rasmi sahaja di laman YouTube,” tambah Janna.

Single rancak dalam nuansa moden ini masih lagi mengekalkan temponya yang sama dengan penambahan muzik daripada instrumen yang sering digunakan dalam kebanyakkan lagu Raya, walaupun begitu ia tetap kedengaran segar dan menggamit perhatian.

“Walaupun lagu ini bertemakan Hari Raya, namun signature bunyi Gatal itu jelas kedengaran.

“Maksud lagu ini agak straightforward dengan mengisahkan tentang sambutan Hari Raya, bagaimana menjelangnya Aidilfitri nanti, ramai yang akan pulang ke kampung halaman untuk bertemu sanak-saudara dan saling bermaaf-maafan di antara satu sama lain,” ujar Janna.

Menurut Janna, bulan Ramadan adalah bulan untuknya bekerja dan melunaskan pelbagai aturan seni yang telah direncanakan setelah sekian lama, dan Aidilfitri baginya adalah hari yang ditunggu-tunggu kerana berpeluang bertemu semula dengan atuk serta nenek di kampung yang sudah lama tidak bersua.

Akhiri Janna: “Semoga lagu Raya ini diterima ramai serta menghiburkan kesemua rakyat Malaysia dan dapat menemani pendengar di sepanjang perjalanan pulang ke kampung nanti.

“Saya juga berharap agar lagu atau branding Gatal terus mendapat sokongan dan diingati sampai bila-bila.

Lagu ‘Gatal Raya’ boleh dimuat turun di iTunes serta dijadikan sebagai nada dering panggilan menerusi kesemua syarikat telekomunikasi tempatan dan juga boleh didengar pada bila-bila masa melalui aplikasi penstriman atas talian utama seperti Joox, KKBox, Spotify, Deezer, Apple Music dan juga YouTube Music.

Manakala audio rasmi single ini pula akan dimuatnaik secara eksklusif hanya di saluran YouTube Warner Music Malaysia. – KopiPlanet.com

The post Selepas Gatal Jadi Viral, Janna Nick Kini Muncul Dengan Single Baharu Gatal Raya appeared first on KopiPlanet.com.




No comments:

Powered by Blogger.