Sejak Putus Cinta, Shalma Eliana Akui Ada Yang Cuba Mendekati… Namun Hanya Lebih Selesa Berkawan
Penyanyi dan pelakon popular, Shalma Eliana atau kini mahu dikenali sebagai Yana mengakui ada yang cuba mendekati dirinya sejak putus cinta dengan Ismail Izani pada bulan lalu.
Yana berkata, buat masa ini dia enggan memikirkan soal cinta dan lebih selesa untuk berkawan dengan sesiapa sahaja buat masa ini.
“Bohonglah kalau saya kata tak ada… memang ada yang cuba untuk mendekati sejak putus cinta. Namun saya beritahu yang saya hanya mahu berkawan sahaja.
“Lagipun saya happy dengan kehidupan sekarang dan tidak mahu memikirkan soal percintaan buat masa sekarang,” ujarnya.
Yana berkata demikian ketika ditemui semasa majlis pelancaran single baharu lagu Your Loss yang berlangsung pada hari ini.
Pada bulan lalu, Ismail mendedahkan hubungan cintanya dengan Yana sudah berakhir dan membawa haluan masing-masing serta mahu memberi fokus kepada kerjaya seni.
Dalam pada itu, Yana juga menepis dakwaan yang mengatakan rapper wanita terkenal Bunga Isme sebagai punca perpisahan dia dan Ismail Izani.
Yana berkata, dia sendiri berasa hairan bagaimana dakwaan tersebut timbul dan menegaskan Bunga bukanlah menjadi sebab mereka berpisah.
“Saya ingin tegaskan Bunga Isme tiada ada kaitan dengan punca perpisahan kami. Apabila cerita itu timbul, saya ada menghubungi secara peribadi dengan menghantar mesej peribadi kepadanya untuk memohon maaf.
“Bunga seorang individu yang baik dan sendiri hairan dan tidak tahu bagaimana cerita yang tidak berasas itu boleh timbul,” ujarnya.
Sementara itu, mengenai lagu Your Loss yang baru sahaja dilancarkan, Yana berkata liriknya dihasilkan dalam tempoh 10 minit pada 2 Oktober lalu.
Jelasnya tentang lagu berkenaan, dia tidak kisah sekiranya ada yang mengaitkan dengan hubungan dia dan Ismail yang bermasalah sehingga mengambil keputusan untuk berpisah.
“Lagu ini menceritan tentang sesuatu yang dapat difahami oleh ramai kerana memberi fokus kepada tema pengkhianatan.
“Ia juga mengingatkan semua pendengar bahawa pengkhianatan tidak seharusnya menjadi punca kegagalan seseorang dan kita tidak harus merasa rugi jika ada yang gagal menghargai kita,” ujarnya.
Lagu YOUR LOSS telah tersedia di semua platform pentriman digital bermula Jumaat, 26 November 2021. Manakala video muziknya pula akan ditayangkan pada tarikh yang sama bermula jam 9 malam di saluran YouTube Universal Music Malaysia. – KopiPlanet.com
The post Sejak Putus Cinta, Shalma Eliana Akui Ada Yang Cuba Mendekati… Namun Hanya Lebih Selesa Berkawan appeared first on KopiPlanet.com.
No comments: