Pernah Hidap Sleep Apnea, Cat Farish Dedah Dirinya Terlelap Ketika Berhenti Di Lampu Isyarat Sewaktu Memandu
Penyanyi dan pelakon popular, Cat Farish mendedahkan dirinya pernah menghidap Sleep Apnea atau masalah gangguan tidur.
Cat Farish berkata, keadaannya pada waktu itu agak membimbangkan, malah dia pernah terlelap ketika sedang berhenti di lampu isyarat semasa memandu kereta.
“Boleh dikatakan masalah Sleep Apnea yang saya alami agak teruk. Misalnya, kalau masuk kereta je saya terus tidur. Contohnya, kalau nak ke Johor, saya mampu tidur dari Kuala Lumpur sehingga sampai ke destinasi yang dituju.
“Sehinggakan pernah juga ada satu ketika, saya pernah memandu dan berhenti di lampu isyarat. Tiba-tiba saya tertidur, nasib baik ada orang datang kejutkan saya,” ujarnya.
Ujar anggota kumpulan Ruffedge itu lagi, masalah Sleep Apnea yang dialaminya dahulu adalah berpunca daripada masalah berat badan yang berlebihan.
“Ketika itu berat badan saya sekitar 130 kilogram dan banyak lemak, jadi saluran pernafasan menjadi sempit. Tambahan pula saya tidak cukup rehat dan ketika keadaan saya ketika itu agak teruk.
“Jadi saya ambil keputusan untuk menurunkan berat badan. Namun, disebabkan ada isu jantung, saya tidak boleh melakukan senaman dan doktor menasihati saya untuk menjalani pembedahan Bariatric Surgery. Alhamdulillah, berat badan dah turun dan Sleep Apnea pun sudah tiada,” jelasnya.
Dalam pada itu, filem arahannya iaitu Marabahaya Underground telah menemui penonton menerusi saluran Astro First sejak 2 Disember lalu.
Selain turut bergelar pelakon, filem berkenaan turut menampilkan pelakon-pelakon lain seperti Hazama, Joe Daud dan MK K-Clique.
Ujar Cat, sejak kebelakangan ini industri filem tempatan dilihat sudah jarang menghasilkan filem-filem yang bertemakan aksi kereta.
“Kami yakin, filem sebegini masih mempunyai kelompok peminat tersendiri, dan ia terbukti dengan sambutan positif dalam kalangan penonton tanah air terhadap filem-filem aksi kereta dari luar negara. Jadi, kami tampilkan Marabahaya Underground dengan adegan-adegan aksi memukau dan dimantapkan lagi dengan elemen komedi.
“Malah, kami turut membuat suntingan menggunakan teknik terkini bagi memastikan dapat menampilkan ‘look & feel’ yang segar. Filem ini juga menampilkan lebih 10 lagu lagu hip hop yang baru daripada artis ‘underground’ hip hop. Kami berharap kehadiran filem ini mampu memberi persepsi dan kepuasan baru kepada penonton terhadap filem aksi kereta tempatan,” ujarnya. – KopiPlanet.com
The post Pernah Hidap Sleep Apnea, Cat Farish Dedah Dirinya Terlelap Ketika Berhenti Di Lampu Isyarat Sewaktu Memandu appeared first on KopiPlanet.com.
No comments: