Ads Top

Lapan Penyanyi Hip Hop Popular Bergabung Mewakili Suara-Suara Muda Menerusi Single Baharu Dua Puluh

Demi untuk merealisasikan impian peminat hip hop generasi baharu, lapan bakat muda Yonnyboii, Kmy Kmo, Luca Sickta, Ical Mosh, Benzooloo, B-Heart, Juki, dan Siqma bergabung menerusi lagu baharu berjudul Dua Puluh yang pastinya menjadi lagu panji mewakili suara-suara muda. 

Digubah daripada lagu asal Marysia tulisan Kmy dan B-Heart, semestinya lagu ini membawa makna besar dan peribadi buat mereka semua. Mana tidak, lagu asal itu sendiri pun berjaya meninggalkan impak tersendiri dalam mencorak cita rasa generasi baharu terhadap genre hip hop sebelum ini.

Pengasas jenama pakaian Playaz, Moiz Ali, dan Hermond Cheng, Ketua Def Jam Malaysia, menjadi individu penting yang bertanggungjawab dalam menggabungkan kelapan bintang rap itu tampil dengan karya agung terbabit. Tentu sekali, segala apa yang mereka salurkan dalam lagu ini bukan calang-calang dalam misi menyebarkan lagi mesej utama Dua Puluh.

Yang pasti, topik perjuangan memajukan diri itu sendiri sudah menjadi kekuatan untuk lagu ini. Suntikan nyawa, rasa, dan tenaga yang diberikan setiap penyanyi terbabit cukup tulus meskipun terjemahan masing-masing berbeza. Kepelbagaian itulah menjadi nadi utama yang sekali gus menyempurnakan gabungan kesemua mereka.

Berkongsi cerita di sebalik lagu ini, B-Heart memberikan kredit besar kepada perjuangan Playaz, Kmy mengimbau kisah penghijrahan ke kota besar, Luca sentuh berkaitan keyakinan diri, manakala Juki sampaikan nasihat berguna berkenaan sifat manusia yang boleh menjadi toksik kepada orang lain.

“Lagu ini bertemakan perjuangan jenama Playaz selama lebih dua dekad. Ia menceritakan setiap aspek perjalanan Playaz selama 20 tahun dalam bidang pakaian.  Projek ini memang saya sangat impikan kerana dapat berkerjasama dengan rakan artis yang saya pandang tinggi. Ia takkan terhasil tanpa ‘mastermind’ kami, Moiz,” kata B-Heart.

“Ia sebuah lagu yang mengisahkan mengenai ujian, usaha dan pencapaian masing-masing. Contohnya usaha saya sendiri dari kampung ke kotaraya, dari kotaraya ke peringkat antarabangsa. Lagu yang bertenaga, dan mempunyai aura tersendiri, tambahan pula dengan barisan rakan-rakan hebat dengan karakter berbeza,” kata Kmy.

“Lirik saya lebih kepada kita kena berhati-hati dengan siapa kita percaya. Sesiapa boleh menjadi musuh kita dan boleh jadi orang paling rapat dengan kita sendiri. Kita jangan biasakan cakap lebih tanpa tunjuk hasil. Pengalaman bekerja dengan yang lain sememangnya cukup bermakna besar untuk saya,” kata Juki, pemenang Playaz Rap Challenge 2020, yang telah ditandatangani menjadi artis naungan Def Jam Malaysia.

Dikepalai lebih lapan orang, projek lagu ini juga tidak terlepas daripada cabaran tertentu. Bukan setakat untuk proses rakamannya, bahkan ada perubahan besar turut berlaku terutama dalam menjayakan penggambaran muzik videonya. Apapun, dengan azam serta profesionalisme masing-masing, setiap halangan mereka tepis sebaiknya.

“Yang mencabar adalah sewaktu proses ‘mixing’ dan ‘mastering’. Ini kerana semua yang terbabit perlu menjalankan proses rakaman berasingan. Jadi kualiti bunyi untuk setiap rakaman lain-lain namun saya luca bertungkus lumus juga sama-ratakan semua kualiti suara.

“Untuk penggambaran muzik video, kami terpaksa mengubah ‘storyboard’ asal gara-gara kekangan cuaca tidak menentu namun mujur selesai juga kesemuanya. Kami harus meredah tempoh yang cukup panjang dari tengah hari sampai ke malam dan sampai keesokan paginya,” kata Luca.

Apapun, mereka semua akui kerjasama yang terjalin menjayakan Dua Puluh menjadi bukti betapa jauhnya visi masing-masing dalam marakkan lagi industri muzik tempatan. Bagi mereka, tiada lain diharapkan selain karya ini mampu menambat hati pendengar serta menyerap mesej-mesej penting nukilan mereka.

“Harapan saya untuk lagu ni, semoga ianya memberi perasaan nostalgia kepada peminat Marysia dan saya mengharapkan semua pendengar berasa puas hati dengan apa yang kami cuba hidangkan,” kata B-Heart.

“Semoga semua pendengar kami dapat menerima baik dan semoga lagu Dua Puluh ini menjadi lagu kegemaran peminat-peminat muzik hip hop sebagai penutup dari kami untuk tahun 2021 ini,” kata Kmy.

“Harapan saya supaya peminat boleh menerima eksperimen yang saya lakukan untuk lagu ini serta berseronok bila mendengar lagu ini,” katanya.

“Memandangkan lagu asalnya adalah Marysia dihasilkan B-Heart dan Kmy, saya harap peminat lagu itu akan bersedia untuk menyambut baik versi baharu yang kami hasilkan pula,” katanya.

Dua Puluh sudah berada di semua platform digital seperti Spotify, Apple Music, Joox, KKBOX, Deezer dan YouTube Music bermula 3 Disember 2021 manakala video muziknya pula boleh ditonton menerusi saluran Youtube Playaz Network.

The post Lapan Penyanyi Hip Hop Popular Bergabung Mewakili Suara-Suara Muda Menerusi Single Baharu Dua Puluh appeared first on KopiPlanet.com.




No comments:

Powered by Blogger.