Ads Top

Jangan Takut: Kau Takut… Aku Pun Takut Papar Kisah Tiga Sahabat Alami Pengalaman Seram

Tidak dinafikan filem-filem bergenre seram komedi antara yang begitu digemari penonton.

Yang terbaharu, sebuah filem seram komedi iaitu Jangan Takut: Kau Takut..Aku Pun Takut bakal menemui penonton tidak lama lagi terbitan CMA Media.

Penerbit Eksekutif, Fuad Rodzi berkata, filem berkenaan pada awalnya dirancang untuk tayangan di pawagam, namun lanjutan daripada situasi semasa, pihaknya membuat keputusan untuk tidak menangguhkan tayangannya.

“Pihak kami akhirnya sepakat dengan memilih platform Astro First untuk mempersembahkan karya terbaharu ini kepada penonton. Jangan Takut: Kau Takut..Aku Pun Takut adalah sebuah filem komedi seram yang sarat dengan nilai murni yang boleh diambil sebagai teladan.

“Malah, antara daya tarikan filem ini, ia bukan sahaja menonjolkan lakonan oleh pelakon terkenal, tetapi turut menampilkan subplot dan tiga cerita berbeza di dalam sebuah filem,” ujarnya.

Menurut Fuad, lebih istimewa filem berkenaan membariskan barisan pelakon dan pelawak terkenal tanah air dan lebih istimewa ini adalah kali pertama menyaksikan gandingan trio oleh Mark Adam, Amerul Affendi dan Syuk Sahar sebagai teraju utama dalam sebuah filem komedi seram.

Jangan Takut: Kau Takut… Aku Pun Takut mengisahkan tentang tiga sahabat karib Sarip, Dol dan Leman yang sangat nakal dan sering mencuri serta menyakat penduduk kampung.

Sikap mereka membuatkan keluarga masing-masing terpaksa menanggung malu. Selepas gagal mencuri di rumah Tok Bomoh, mereka bertiga telah dihalau oleh keluarga masing-masing. Kemudian Sarip, Dol dan Leman tekad untuk berhijrah ke Kuala Lumpur. 

Selain ketiga-tiga pelakon tersebut, filem berkenaan juga membariskan pelakon-pelakon seperti Tasha Shilla, Wan Hanafi Su, Delimawati, Ropie, Jasmin Hamid, Bell Ngasri, Melati Zero, Azlee Senario, Ucop Cecupak, Aiyuni Hashim, Kamarul Yusof, Donna Muslim dan Along Eyzendy.

Manakala dari sudut pengarahan pula, ia telah mendapat sentuhan kreatif oleh pengarah Nazir Jamaluddin yang sebelum ini banyak mengarahkan karya-karya komedi seram dan komedi serta pernah dinobatkan sebagai Pengarah Komedi Terbaik (TV) di Anugerah Lawak Warna 2014 menerusi drama Bila Joyah Dah Goyah.

Sementara itu, Naib Presiden, Ketua Astro Shaw & Nusantara, Raja Jastina Raja Arshad berkata, pihaknya rasa berbesar hati melihat platform Astro First terus mendapat kepercayaan daripada penggiat seni tempatan untuk mempersembahkan karya mereka kepada penonton, lebih-lebih lagi dalam keadaan yang begitu mencabar ini.

“Sudah semestinya kami juga tidak akan henti menyokong rakyat untuk terus kekal berada di rumah dengan membawakan pelbagai lagi filem menarik untuk tontonan dan hiburan yang mampu membawa penonton keluar seketika daripada tekanan,” ujarnya.

Filem Jangan Takut: Kau Takut…Aku Pun Takut akan berada di Pawagam Rumah Anda, Astro First bermula 8 Julai 2021.

Untuk melanggan sila ke saluran 480 atau anda juga boleh strim di Astro Go atau On Demand. Dengan hanya RM15, anda boleh menonton selama 48 jam (2 hari) secara berulang-ulang. – KopiPlanet.com

The post Jangan Takut: Kau Takut… Aku Pun Takut Papar Kisah Tiga Sahabat Alami Pengalaman Seram appeared first on KopiPlanet.com.




No comments:

Powered by Blogger.