Sajat Gagal Dapat Kebenaran Merayu, Ganti Rugi Hampir RM200,000 Kepada Stokis Kekal
Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman, Nur Sajat Aesthetic dan Ashaari Maznan gagal mendapat kebenaran untuk merayu membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang memerintahkan mereka membayar ganti rugi hampir RM200,000. kepada plaintif, usahawan Nurwati Hussin iaitu pengasas OWA Resources.
Peguam utama OWA Resources, Nurul Hafidzah Hassan dari firma guaman NHA Advocates & Solicitors berkata, Muhammad Sajjad atau Sajat juga diarah oleh Mahkamah Rayuan untuk membayar kos guaman sebanyak RM5,000.
“Keputusan notis usul kebenaran merayu ditolak oleh mahkamah,” kata Nurul Hafidzah menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan oleh firma pengurusan krisis Saiful Ridzuan Public Relation And Communications.
Sebelum ini, OWA Resources memfailkan saman terhadap Nur Sajat Aesthetic di atas kegagalan syarikat usahawan tersebut membekalkan bengkung dan girdle yang dipesan oleh stokis itu di antara bulan Februari dan April tahun 2018.
Sebelum kes dibawa ke Mahkamah Tinggi, pada bulan Januari tahun 2020, plaintif Nurwati Hussin telah memenangi kes pelanggaran kontrak tersebut di Mahkamah Sesyen Shah Alam.
Mahkamah Sesyen mendapati barisan peguam plaintif telah membuktikan pada keseimbangan kemungkinan (on the balance of probabilities) yang ketiga-tiga defendan telah melanggar kontrak perniagaan dengan Nurwati Hussin.
Selepas itu, Mahkamah Tinggi Shah Alam menerima rayuan OWA Resources berkaitan ganti rugi dan kos yang tidak diberikan oleh Mahkamah Sesyen.
Kemudian pada bulan Disember tahun lepas, Hakim Mahkamah Tinggi bersetuju bahawa terdapat bukti yang mencukupi bagi meningkatkan pembayaran. Ini menjadikan jumlah gantirugi dan kos yang perlu dibayar kepada OWA Resources hampir RM200,000.
Semasa kes saman langgar kontrak itu berlangsung, Nurwati Hussin turut ditahan polis untuk disoal siasat apabila Sajat membuat laporan polis palsu yang mendakwa kononnya plaintif telah menyelewengkan wang syarikat dan melakukan pecah amanah sebanyak RM1 juta.
Berita penahan polis tersebut telah mendapat liputan akhbar di peringkat nasional oleh pihak media dan ianya telah memberikan persepsi negatif kepada nama baik usahawan Nurwati Hussin.
Dalam pada itu, saman balas Sajat terhadap Nurwati Hussin juga ditolak Mahkamah Sesyen setelah mendapati ianya adalah fitnah dan ancaman undang-undang tidak berasas. Apa yang jelas melalui kes tersebut, bukti menunjukkan Sajat yang sebenarnya sentiasa meminjam duit Nurwati Hussin dan suami.
“Ingin saya tegaskan di sini bahawa anak guam bukannya penjenayah seperti yang telah digambarkan oleh pihak-pihak tertentu sebelum ini dan kemenangan kes ini merupakan testimoni yang mahkamah bersetuju dengan semua bukti yang telah dibentangkan.
“Keputusan hari ini telah memulih dan mengukuhkan imej, reputasi dan jenama perniagaan OWA Resources yang dilanda krisis undang-undang, ekonomi dan persepsi negatif. Anak guam kini berada di landasan yang betul untuk terus berjaya dengan perniagaan mereka,” tambah Nurul Hafidzah.
Sementara itu Nurwati Hussin melahirkan perasaan bersyukur dan terima kasih kepada barisan peguam beliau iaitu Nurul Hafidzah Hassan dan Zeti Zulkifli yang berjaya mendapatkan semula modal perniagaan bagi stok yang tidak dibekalkan dan juga membantu beliau semasa dalam tahanan polis apabila disoal siasat berikutan laporan polis palsu yang dibuat oleh Sajat.
“Nama saya dan syarikat kini telah dibersihkan dan saya hargai bantuan yang telah diberikan oleh semua pihak yang berkenaan sepanjang proses membuktikan kebenaran.
“Saya sendiri nampak barisan peguam saya bekerja dengan gigih bagi memastikan saya menang kes ini. Terima kasih juga kepada semua pihak berkepentingan syarikat termasuk pekerja dan para pelanggan yang masih membantu saya,” ujarnya.
Nurwati sebelum ini merupakan bekas stokis utama Sajat dan salah seorang individu terpenting yang menolong beliau sejak dari awal penglibatan dalam bidang perniagaan. – KopiPlanet.com
The post Sajat Gagal Dapat Kebenaran Merayu, Ganti Rugi Hampir RM200,000 Kepada Stokis Kekal appeared first on KopiPlanet.com.
No comments: