Ads Top

“Mula-Mula Memang Ada Awkward Sikit…” – Hafiz Hamidun Kongsi Detik Pertemuan Dengan Nabila Razali

Sebelum ini nama Hafiz Hamidun dan Nabila Razali menjadi sebutan gara-gara satu tweet yang ditujukan penerbit berkenaan tentang persembahan lagu Peluang Kedua di Anugerah Juara Lagu 35 (AJL 35).

Bagaimanapun, Hafiz menyatakan dia sudah bertemu dan bercakap dengan Nabila ketika sesi rakaman sebuah program raya baru-baru ini.

Hafiz berkata, ia adalah kali pertama dia bertemu secara bersemuka sejak hangatnya isu berkenaan.

“Mula-mula memang ada awkward (janggal) sikit, tetapi saya yang mulakan dulu perbualan. Ayat pertama saya pada dia, sama ada setuju atau tidak dengan apa yang saya kata, saya minta maaf kalau ada terguris hati.

“Nabila pun beritahu dia dah maafkan. Bukan sahaja dengan saya, malah dengan orang lain juga. So far kita berakhir dalam satu keadaan yang elok, Nabila pun tidaklah jadikan isu ini sebagai alasan tak nak bertegur dengan saya,” ujarnya.

Hafiz berkata demikian ketika ditemui semasa majlis penyerahan sumbangan kepada penduduk di Dataran PPR Pantai Ria, Kerinci anjuaran Yayasan Maghfirah pada Sabtu lalu. 

Hafiz berkata, dia juga sudah memberitahu kepada Nabila bahawa dia tidak berniat untuk mencaci atau menghina.

Ujar penyanyi dan penerbit lagu itu lagi, dia bersyukur kerana semua isu yang timbul sudah berakhir dan mereka sendiri tidak mahu ia berpanjangan.

“Selama ini pun saya tetap support rakan-rakan artis lain, termasuk Nabila. Cuma apa yang saya tweet tu adalah perspektif saya sebagai penonton.

“Saya akui sangat suka dengan lagu Peluang Kedua tu, cuma kecewa sebab tak dapat sampaikan dengan baik,” jelasnya.

Dalam pada itu, Hafiz juga tidak menolak kemungkinan untuk bekerjasama dengan Nabila pada masa akan datang.

Ujar Hafiz, Nabila sendiri turut memberitahu bahawa dia sedang mencari lagu baharu ketika ini.

“Dia ada beritahu kalau saya ada lagu yang sesuai untuknya. Saya cuma cakap InsyaAllah jika ada peluang untuk kami bekerjasama.

“Kalau bukan lagu pop, mungkin lagu ke arah ketuhanan. Malah, saya akui setiap lagu yang dihasilkannya pasti menjadi dan diterima ramai,” ujarnya. – KopiPlanet.com

The post “Mula-Mula Memang Ada Awkward Sikit…” – Hafiz Hamidun Kongsi Detik Pertemuan Dengan Nabila Razali appeared first on KopiPlanet.com.




No comments:

Powered by Blogger.