Ads Top

Media Hiburan Throwback Menyingkap Perjalan Seni 15 Selebriti Popular

Program Media Hiburan Throwback ialah sebuah rancangan temu bual eksklusif berkonsepkan santaiterbitan Astro Prima dengan kerjasama Nu Ideaktiv Sdn. Bhd. yang bakal menyingkap perjalanan seni 15 selebriti popular tanah air.

Apa yang menariknya, setiap barisan selebriti yang ditampilkan dalam program ini juga pernah muncul sebagai cover dalam majalah Media Hiburan. 

Pengurus Saluran Astro Prima, Norzeha Mohd Salleh berkata, sebelum wujudnya penggunaan laman media sosial yang cukup meluas, media cetak seperti majalah dan surat khabar merupakan platform perantara paling utama untuk para peminat mendekati artis pujaan.

“Walaupun zaman kini sudah berubah dan mula beralih kepada media sosial, namun kualiti perkongsian tersebut masih relevan sehingga hari ini dan mempunyai kekuatan yang tersendiri untuk divisualkan dalam format kandungan tv. 

“Sehubungan dengan itu kami amat berbesar hati bekerjasama dengan pihak Nu Ideaktiv Sdn. Bhd dalam menerbitkan program terbaharu yang bakal mengimbau nostalgia menerusi Media Hiburan Throwback khusus untuk tontonan sekeluarga,” ujarnya.

Menurut Norzeha, pelbagai kandungan menarik bakal dijanjikan menerusi program ini kerana arkib majalah Media Hiburan selama lebih 35 tahun akan dibongkar semula.

Jelasnya, apa yang pasti, banyak kisah-kisah lama, ragam suka dan duka yang akan diceritakan semula.

Sementara itu, segmen ‘MHThrowback’ mula diterbitkan pada awal tahun lalu versi digital dan disiarkan menerusi platform media sosial Media Hiburan sehingga turut menerima jutaan jumlah tontonan secara keseluruhan.

Masih mengekalkan konsep asal, segmen tersebut kini ditambah baik serta diangkat dalam versi program televisyen.

Untuk musim yang pertama kali diterbitkan ini, pengacara televisyen yang juga merupakan personaliti ERA Radin Amir Affendy telah diberi mandat untuk mengendalikan program Media Hiburan Throwback selaku hos sepanjang 13 buah episod.

Menerusi program ini, para selebriti akan dikejutkan dengan keratan artikel berserta koleksi gambar lama mereka yang diambil daripada arkib majalah Media Hiburan.

Pelbagai reaksi yang disulami dengan 1001 kisah yang mungkin tidak pernah dikongsikan sebelum ini bakal dibawakan dalam ‘Media Hiburan Throwback’.

Seramai 15 selebriti popular yang menjayakan musim pertama program ini ialah Datuk AC Mizal, Rita Rudaini, Datuk Rosyam Nor, Erra Fazira, Akim & Stacy, Didie Alias, Datuk Awie, Linda Onn, Faizal Hussein, Ifa Raziah, Shira & Ijoy, Norman Hakim dan Marsha Milan.

Program Media Hiburan Throwback akan berdurasi selama 30 minit secara eksklusif pada setiap hari Rabu, jam 9.00 malam mulai 24 Mac 2021 di saluran Astro Prima (125) dan Astro Prima HD (105) serta turut boleh distrim menerusi aplikasi Astro Go dan perkhidmatan ‘on demand’untuk pilihan yang lebih fleksibel. – KopiPlanet.com

The post Media Hiburan Throwback Menyingkap Perjalan Seni 15 Selebriti Popular appeared first on KopiPlanet.com.




No comments:

Powered by Blogger.