Haiza Tampil Dengan Single Mantan Isterimu, Papar Kisah Perempuan Gila Talak
Penyampai radio Kool FM, Haiza kini tampil dengan buah tangan terbaharu berjudul Mantan Isterimu.
Haiza berkata, dia mengambil keputusan untuk tampil dengan lagu baharu kerana rindu setelah kali terakhir tampil dengan lagu Young & Gentlemen dua tahun lalu.
“Tidak dinafikan perasaan rindu untuk menghasilkan lagu baharu memang setelah dua tahun tidak menghasilkan sebarang produk baharu.
“Jadi, apabila sudah ada peluang sebegini, sudah pasti saya gembira memandangkan kini ada produk baharu untuk peminat,” jelasnya.
Menurut Haiza, lagu berkenaan ada banyak perbezaan berbanding dengan lagu terdahulu seperti genre world music dan fusion lebih menghiburkan serta dekat dengan peminat memandangkan ini merupakan asam garam rumah tangga.
Ujarnya, Mantan Isterimu yang ditulis lirik oleh Iman Imran serta Ajai selaku komposer itu berdasarkan kisah perempuan yang gila talak apabila berlakunya perceraian dan perkara itu bukan tabu dalam kalangan masyarakat tetapi biasa berlaku.
“Jika frasa gila talak disebut, masyarakat biasanya akan teringatkan lelaki memandangkan kebanyakan kes ini pernah berlaku padahal ada juga wanita tidak ‘move on’ sebaik sahaja berlakunya penceraian.
“Kita faham tak semua orang akan move on bila berlaku perpisahan. Kenapa perkara tersebut terjadi? Hanya mereka sahaja yang tahu apa sebenarnya yang terjadi sedangkan orang luar terus menerus membuat andaian.
“Semua kisah masyarakat yang berlaku dirumus oleh Iman Imran ke dalam lagu ini. Bagi saya ini sesuatu yang segar, lain dan dekat dengan pendengar,” katanya yang menganggap ini merupakan sebuah kritikan sosial kepada masyarakat.
Sementara itu, bercerita mengenai perkembangan terbarunya pula, penyampai radio Kool FM ini turut merasai perubahan besar dalam kerjaya sejak Covid-19 melanda dunia.
Jelasnya, jika dahulu dia sering melakukan banyak pekerjaan dalam satu masa yang sama, kini fokusnya lebih tertumpu kepada radio semata-mata memandangkan sudah kekurangan acara hiburan berbanding dahulu.
“Dulu saya buat tiga atau empat kerja sekali gus. Sekarang sudah tak banyak show memandangkan acara hiburan makin kurang disebabkan SOP dan sebagainya. Tapi saya bersyukur kerana masih mempunyai pekerjaan tetap.
“Ada dalam kalangan rakan-rakan artis lain juga berhadapan dengan masalah yang sama sampai terpaksa mencari pendapatan dengan cara yang lain. Semua orang pun terkesan, ini realiti yang sudah dihadapi oleh semua,” tambahnya.
Menurut Haiza, semua orang perlu mengambil peluang menggunakan platform digital untuk melakukan apa sahaja demi mencari sumber pendapatan atau mencari rangkaian baru.
Dengan ada pelbagai platform, siapa sahaja mampu melakukan apa sahaja termasuklah berniaga, memasarkan produk dan sebagainya. Dia juga tidak terkecuali dalam hal tersebut untuk memasarkan Mantan Isterimu.
“Perubahan semasa tetap akan berlaku dan semua orang perlu memanfaatkan peluang yang ada. Kita berusaha dan Tuhan juga yang menentukan, apa yang penting adalah langkah pertama itu,” katanya.
Lagu Mantan Isterimu sudah pun berada di semua platform digital sejak 22 Februari lalu. – KopiPlanet.com
The post Haiza Tampil Dengan Single Mantan Isterimu, Papar Kisah Perempuan Gila Talak appeared first on KopiPlanet.com.
No comments: