Ads Top

Here Comes July Tampil Dengan Single Juwita, Beri Mesej Angkat Kuasa Wanita

Tidak dinafikan kumpulan kugiran Here Comes July (HCJ) semakin mendapat tempat dalam kalangan peminat muzik tempatan dan kini kian rancak mengatur kerjaya seni.

Setelah kali terakhir tampil dengan lagu Malam Hari, kini mereka kembali dengan lagu baharu berjudul Juwita, sebuah naskhah lagu yang memberi mesej serta begitu bermakna dan mendalam.

Mana tidaknya, HCJ yang dianggotai Wan Lukman sebagai vokalis, Arfan Zainuddin (gitar utama), Adam Hariz (gitar ritma), Haziq Hashim (pemain bass), dan Irfan Ismail (dram) mengangkat kuasa wanita sebagai fokus utama. Sekali gus, Juwita pastinya memiliki kekuatan daripada mesej penting itu sendiri.

Saban kali lagu yang dihasilkan dengan menggunakan judul nama seseorang wanita berkisar mengenai individu tertentu. Namun, lagu ini sebaliknya membawa pengertian lebih luas merangkumi wanita daripada pelbagai latar belakang. Menurut vokalisnya, Wan Lukman, Juwita adalah perwakilan kepada setiap wanita yang wujud di muka bumi ini.

“Idea untuk lagu Juwita ini tercetus lebih kurang setahun yang lalu. Juwita dalam takrifan kami adalah perwakilan terhadap seluruh wanita yang wujud dalam hidup kita. Tidak kiralah ibu kita, teman wanita, kakak, sesiapa sahaja yang digelar wanita, dialah Juwita. Juwita yang tak pernah berkira, tak pernah penat, tak pernah beri alasan,” katanya.

Kehebatan sang insan bergelar wanita sememangnya sukar disangkal. Setiap wanita menurut HCY memiliki kuasa tersendiri yang mampu memberi kesan besar dalam hidup seseorang. Mengambil kira situasi pandemik semasa juga, mereka tujukan khas lagu Juwita kepada pejuang barisan hadap wanita yang tidak lelah menyelamatkan ramai.

“Juwita sentiasa bersama kita dalam menyinari hidup kita seharian. Kehebatan Juwita ini, tiada siapa boleh nafikan. Selain ditujukan buat seluruh wanita secara amnya, lagu ini didedikasi khas buat barisan hadapan wanita kita. Mereka tidak henti bekerja keras demi negara namun pada masa sama masih bertugas tanpa putus asa untuk keluarga,” katanya.

Lebih manis, Juwita turut dijadikan runut bunyi kepada drama Takdir Yang Tertulis arahan Shahrulezad Mohameddin. Drama hebat itu dibintangi Nad Zainal, Nazim Othman, Elvina Mohamad dan Alvin Chong. Siri itu memulakan tayangan di Slot Samarinda TV3 pada 21 Januari 2021 menggantikan Bougainvillea.

Berkongsi mengenainya, Wan Lukman tidak menafikan sangat berbesar-hati apabila Juwita turut dipilih sebagai sebahagian daripada drama terbabit. Semestinya, mereka teruja apabila promosinya akan jadi lebih meluas apabila dimainkan berulang kali menerusi slot drama perdana itu.

“Paling kami berharap adalah semoga melodi lagu ini dapat menemani penonton-penonton setia drama Takdir yang tertulis. Biarlah melodi ini pantas melekat dan menjadi siulan sepnanjang masa oleh penonton setia di luar sana. Tidak ketinggalan, semoga ia menjadi titik penting pengenalan kepada kreativiti Here Comes July,” katanya.

Mendapat sentuhan keseluruhan anggotanya sendiri untuk penghasilan Juwita, Wan Lukman mendedahkan prosesnya berlaku sangat pantas dan spontan. Semestinya, paling memberi inspirasi kepada mereka adalah perjuangan barisan hadapan wanita. Menariknya, mereka turut mendapat sokongan untuk susunan muziknya daripada Taja.

“Biasanya, idea tercetus tanpa dirancang. Inspirasi melodinya tercetus semasa seluruh anggota kami tengah main game dalam talian semasa PKP pertama. Selepas itu, HCJ bertukar idea dan pandangan dari awal pagi hingga ke lewat malam setiap hari. Atas tunjuk ajar dan nasihat Taja, terhasillah susunan yang paling menusuk kalbu untuk Juwita,” katanya.

Memperjuangkan muzik pop indie, HCJ mula aktif sejak 2013. Pada 2019, mereka pernah membuat persembahan di Rantai Art Festival, Naib Johan Music’s Friends From Far Away Places, Unity Festival Malaysia, Push to Play Vol. 28, Merdekaraya Open Mic, LiveInIntun, Euphonious 2018, dan Cyber Fest.

‘Juwita’ boleh dinikmati menerusi semua platform penstriman muzik terpilih antaranya Apple Music, Deezer, JOOX, KKBox, Spotify, Youtube & Youtube Music. – KopiPlanet.com

The post Here Comes July Tampil Dengan Single Juwita, Beri Mesej Angkat Kuasa Wanita appeared first on KopiPlanet.com.




No comments:

Powered by Blogger.