“Hebatlah Pemandu Myvi. Sikit Pun Dia Tidak Berganjak..,” Peguam Puji Pemandu Myvi Dan Lori Bantu Polis
Sejak petang tadi, kecoh di media sosial mengenai rakaman sebuah kereta Waja dipercayai cuba meloloskan diri daripada diperiksa pihak polis. Rakaman itu telah mendapat perhatian ramai pihak yang memberikan pelbagai reaksi dan pandangan.
Tidak ketinggalan, peguam, Nor Zabetha yang meluahkan kekagumannya terhadap anggota polis serta semua saksi yang terlibat di tempat kejadian. Tidak terkecuali juga, peguam ini turut menzahirkan ‘tabik’ terhadap pemandu Myvi dan lori kerana membantu pihak polis. Ikuti perkongsiannya di bawah:
Macam dalam filem
Dua kali saya ulang tonton video kereta Proton Waja yang mengelak dari ditahan polis di Sungai Buloh. Macam dalam babak filem. Cemas kita tengok, tambah cemas orang yang disana.
Hebatlah pemandu Myvi. Sikit pun dia tidak berganjak untuk memberi peluang pada pemandu Waja itu meloloskan diri. Nampak sungguh terdesak pemandu kereta Waja itu. Sambil menonton, saya tambah seram jika tiba-tiba pemandu Waja, ada senjata dan keluarkan untuk menembak semua dalam usaha melarikan diri. Manalah tahukan.
Imaginasi begini, akibat banyak terpengaruh menonton filem. Apa tidaknya situasi dalam video juga sama seperti filem. Tetapi memang hebatlah pemandu Myvi itu. Walaupun keretanya dilanyak, diremput. Dia tetap berkeras dan tidak berganjak. Habis rosak kemek kerana dilanyak kereta Waja.
Kereta Waja juga tidak mahu mengalah. Mundur dan rempuh. Mundur dan rempuh sehingga ada ruang untuk lalu.
Kalau Waja itu tiada lesen dan insurans, makanya tuntutan insurans pada kenderaan pemandu Myvi ini. Akan terkesanlah NCD kereta Myvi ini. Saya harap PDRM mempertimbangkan usaha Myvi ini.
Ada jenis manusia, calar sikit kereta pun tidak boleh. Saya tabik pemandu Myvi. Anda hebat membantu polis menghalang suspek lepas lari. Hero!
Tidak lupa juga kepada pemandu lori. Saya baca komen, ada yang tulis, geram tengok cara polis buat kerja. Katanya tidak pantas dan tidak kena. Saya tidak setuju.
Saya bagi kredit pada polis itu. Dalam keadaan panik, huru-hara, mengambil kira masa yang singkat. Dia perlu ambil tindakan segera. Bukan semua boleh berfikir dengan pantas dalam situasi panik. Ada setengah manusia dia “Black out” seketika.
Dia tidak melatah, dia tidak tembak ke dalam kereta. Pistol yang dihalakan tempat dia tujukan pada kedua-dua buah tayar. Cara tembakan yang tidak akan buat peluru tersasar. Jarak tembakan yang menyebabkan peluru tidak tersasar.
Waktu kereta Waja berjaya cabut lari, dia tidak melepaskan tembakan kepada kereta Waja seperti dalam cerita Hollywood.
Kalau dalam filem Hollywood tatkala kereta penjenayah cabut lari, polis akan menembak dari jauh! “Pang!Pang!” Terkena kereta. Penjenayah berjaya ditumpaskan.
Itu filem. Semuanya dalam aturan. Kalau diaturkan tembak terkena bahu sedikit, maka terkena. Situasi polis ini dalam realiti. Banyak dia hendak fikir. Nyawa orang awam di sana dan nyawa dia juga.
Dalam pada dia menjalankan kerja, tiba-tiba pemandu ada senjata. Dihulurnya keluar tingkap. Ada juga yang kata seorang sahaja buat kerja tetapi polis ada dua.
Kalau sudah tembak kiri kanan. Bagaimana agaknya situasi itu? Seorang bertugas dan seorang jaga. Janganlah kita bayangkan polis seperti dalam filem. Situasi filem lain. Impak dalam filem perlu “Boom!Boom!” kerana hendak menarik perhatian kita.
Kalau dia mengikut rasa bengang dan marah, siapa-siapa sahaja mungkin jadi panik apabila melihat kereta itu cabut. Barangkali akan menembak bertubi-tubi pada kenderaan dan barangkali boleh jadi peluru sesat membahayakan orang awam.
Dalam pada dia melakukan tugasnya, nampak dia menyusun kemas strategi. Kalau kalian ada 40 saat ditempatnya. Apa akan kalian lakukan? Sambil mengutamakan keselamatan orang awam.
Di Malaysia ini, walaupun anda polis, ada tidak boleh melepaskan tembakan sewenang-wenangnya melainkan nyawa anggota yang menjalankan tugas atau orang awam terancam.
Setiap kematian penjenayah atau orang awam masih disiasat dan jika terbukti polis cuai menjalankan tanggungjawab, mereka boleh dihadapkan ke mahkamah. Ada kes yang dilaporkan di mahkamah.
Kalau lihat situasi dalam video, andai kata pemandu Waja juga mengeluarkan pistol atau senjata berbahaya untuk melawan polis atau orang awam, maka tembakan oleh polis adalah munasabah tetapi situasi dalam video berbeza.
Pada pandangan saya tindakan polis tadi, memang yang terbaik mengikut situasi dan keadaan. Orang sekeliling juga selamat.
Mujurlah ada yang merakam situasi supaya kita tahu kejadian sebenar dan boleh dijadikan bukti. Bukti begini, tidak boleh menyebabkan situasi tadi dimanipulasi. Bagus!
Manalah tahu ada juga hendak mengatakan polis begitu dan begini. Dituduhnya pula “Polis bertindak ganas menembak kereta yang tidak bersenjata. Pemandu trauma”. Padahal kereta Waja itu yang savage!
Kalau ada update kes, tolong kongsi diruang komen. Saya hendak tahu sangat apa kesalahan suspek ini sampai desperate begitu rupa.
Akhir kata, pemandu Myvi dan lori anda hebat! Polis anda hebat! Yang merakam video terima kasih. Sekian.
Oleh Nor Zabetha.
Sumber: Nor Zabetha
The post “Hebatlah Pemandu Myvi. Sikit Pun Dia Tidak Berganjak..,” Peguam Puji Pemandu Myvi Dan Lori Bantu Polis appeared first on Siakap Keli.
No comments: