Ads Top

Zynakal Papar Suka Duka Kehidupan Dalam Video Muzik Perasaan

Penyanyi Zynakal bukanlah satu nama asing dalam industri muzik tanah air ketika ini. 

Penyanyi berkenaan pertama kali muncul dalam persada seni menerusi lagu debutnya iaitu Terbang pada tahun 2018. 

Bagaimanapun, peristiwa kontroversi melibatkan dirinya yang berlaku sekitar Ogos tahun lalu telah sedikit sebanyak memberi kesan kepada kerjayanya sebagai penyanyi. 

Mengambil iktibar dan bangkit daripada masalah kesihatan mentalnya yang mencetuskan kontroversi tersebut, Zynakal muncul dengan lagu Sakit pada Disember 2019, di mana gandingannya bersama penyanyi dan komposer Yonnyboii  itu telah mendapat sambutan positif pendengar. 

Sejak kemunculannya pada tahun 2018, penyanyi yang mesra disapa sebagai Zyn berpeluang muncul di kaca televisyen buat pertama kalinya apabila dijemput membuat persembahan sebagai artis undangan dalam program Showcase Big Stage 2020 pada 4 Oktober lalu. 

Lebih manis lagi kemunculannya itu adalah bagi memperkenalkan lagu terbaharunya Perasaan kepada khalayak umum dimana ia merupakan single pertamanya di bawah naungan label Warner Music Malaysia.

Single Perasaan merupakan ciptaan penuh Zynakal atau nama sebenarnya Muhammad Raziq Rosli. Lagu yang sarat dengan emosi ini bercerita tentang apa yang tersirat di kalbu Zynakal dalam menghadapi detik-detik sukar dalam kehidupannya. 

Menyifatkan lagu ini cerminan rasa yang ada di hati sanubarinya, Zyn berkata, “Daripada dulu lagi, muzik menjadi wadah untuk saya meluahkan apa yang terbuku di hati. 

“Lagu ini cuba menyelami perasaan mereka yang berada dalam kesedihan namun perasaan mereka itu diperlekehkan atau dinafikan.”

Video muzik rasmi Perasaan arahan Zul Luey ini mengisahkan tentang suka duka kehidupan seseorang yang menjalani hari-hari mereka. 

“Sudah menjadi lumrah manusia suka mengadili tanpa mengenali atau memahami dahulu seseorang atau sesuatu keadaan. Kadang-kadang kita lupa orang yang kita benci itu pun ada hati dan perasaan juga. 

“Jadi berpada-padalah dalam setiap perbuatan, kerana kita tidak tahu kesannya ke atas orang lain. Itulah yang saya cuba sampaikan melalui lagu Perasaan ini,” jelasnya.

Perasaan diterbitkan dan diedarkan oleh Warner Music Malaysia. Single ini boleh didapati di kesemua pelantar digital seperti Spotify, iTunes, KKBox , Deezer, Joox dan juga Apple Music pada 23 Oktober lalu. 

Video muzik rasmi pula boleh ditonton di saluran Youtube Warner Music Malaysia sejak 19 Disember lalu. – KopiPlanet.com

The post Zynakal Papar Suka Duka Kehidupan Dalam Video Muzik Perasaan appeared first on KopiPlanet.com.




No comments:

Powered by Blogger.