Ads Top

Siti Sarah, Hazama Sebak Ketika Bercerita Tentang Lagu Terakhir Buat Teman

Apabila mengimbas semula tentang pembikinan lagu duet nyanyian Siti Sarah Raissuddin dan Hazama berjudul Terakhir Buat Teman, ia sebenarnya mempunyai kisah yang tersendiri.

Sebenarnya, melodi indah lagu yang diciptakan oleh Allahyarham Lok U atau nama sebenarnya Faizal Uzir adalah untuk mengenang kedua orang sahabatnya yang pergi mengadap Ilahi terlebih dahulu.

Pada dasarnya lagu berkenaan diciptakan oleh Lok U bersama Aji sebagai tanda mengenang Allahyarham Kelly yang terlebih dahulu pergi meninggalkan mereka.

Bagaimanapun, tidak sempat lagu tersebut disiapkan, Aji pula menyusul mengikut Kelly bertemu Sang Pencipta. Mencari kekuatan, Lok U kemudia cuba menyiapkan lagu tersebut yang dirancang akan dinyanyikan oleh Siti Sarah, namun sudah tertulis bahawa dia juga berpulang ke negeri abadi pada 22 Januari lalu.

Justeru itu, Indigital Music memainkan peranan menyiapkan lagu ini atas dasar ingin meneruskan niat Allahyarham. Berbekalkan semangat persaudaraan, lagu ini akhirnya diteruskan proses pembikinan oleh Genervie dengan bantuan Emi gitarist yang juga protege kepada Allaryarham Aji.

Bukan hanya sekadar mereka berdua sahaja, beberapa pemuzik yang rapat dengan ketiga-tiga allahyarham turut menyumbangkan idea dan khidmat bagi menyiapkan lagu ini.

Siti Sarah yang tidak dapat menahan sebak ketika menceritakan pembikinan lagu itu berkata, dia terpaksa mencari kekuatan untuk terus menyanyikan lagu ini.

Menurutnya, sewaktu rakaman lagu di studio dia enggan meletakkan sepenuh perasaanya kerana bimbang tidak dapat meneruskannya.

“Sebagai sahabat baik, saya memang antara orang paling terkesan bila arwah Lok U meninggal dunia. Kami pernah jamming bersama bagi menyudahkan lagu yang dituju buat dua rakan-rakan yang lain yang terlebih dahulu meninggalkan kami.

“Akhirnya, dia juga pergi tanpa pesan. Apa pun saya bersyukur kerana ramai rakan-rakan arwah sanggup turun padang dan menyiapkan lagu ini. Setidaknya saya mampu tersenyum apabila hasratnya untuk menghasilkan lagu disambung oleh yang lain,” katanya.

Berkongsi perasaan yang sama seperti Siti Sarah, Hazama memberitahu dia pernah menyuarakan hasrat untuk menyanyikan lagu tersebut ketika mendengar melodinya buat kali pertama dan tidak menyangka bahawa Siti Sarah juga mendapat mandat yang sama.

“Sebelum ini allahyarham Lok U pernah beri saya dengar melodi lagu yang katanya dibuat khusus untuk arwah Kelly dan Aji. Kemudian saya beritahu bahawa ini muzik yang baik dan saya mahu menyanyikannya.

“Namun begitu, tidak sangka pula lagu tersebut tidak disiapkan sepenuhnya. Apa pun saya bersyukur kerana pada akhirnya rezeki dapat berduet dengan Sarah melalui karya besar ini,” kata Hazama.

Video muzik Terakhir Buat Teman sudah boleh ditonton melalui saluran YouTube Indigital Muzik dan lagu ini juga boleh didengar melalui semua platform digital.

Menariknya pembikinan lagu berkenaan turut mendapat sokongan geran melalui Dana Kandungan Digital (DKD) di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM). – KopiPlanet.com

The post Siti Sarah, Hazama Sebak Ketika Bercerita Tentang Lagu Terakhir Buat Teman appeared first on KopiPlanet.com.




No comments:

Powered by Blogger.