Ads Top

Martabat llmu Di Sisi Islam Berdasarkan Hadis

“Kamu nak ke mana tu Mail? Lepas ni kan ada majlis ilmu, rugi kalau tak join?

Mail pun menjawab – “Tak apa lah Zul. Dah habis Maghrib ni, aku nak pergi mengopi sekejap kat warung tu. Nanti Isyak, aku masuk. Kau join la ceramah tu.”

Agaknya berapa ramai orang yang mengambil sikap seperti Mail? Memandang enteng terhadap majlis ilmu. Kemungkinan juga dalam pemikiran sebahagian masyarakat, solat lima waktu itu sudah memadai sebagai bekal di akhirat kerana ia adalah rukun Islam yang pertama.

Kita lihat kehadiran ke majlis Ilmu biasanya diimarahkan oleh golongan pencen atau warga emas yang juga turut hadir berjemaah solat fardu di masjid.

Ini menunjukkan ketidakcaknaan masyarakat sekarang terhadap ilmu kerana tidak menyedari atau mungkin tidak tahu tentang tuntutan Islam yang tinggi terhadapnya.

Dalam firman Allah ada menyebut yang bermaksud – “Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan ugama (dari kalangan kamu) beberapa darjat.” (Surah Al-Mujadalah, 58:11)

Bagaimana seseorang boleh mendapat gelaran Hafiz, Hafizah atau Profesor (gelaran tertinggi kepada pensyarah di universiti) jika tidak dengan ilmu. Ternyata ilmu menaikkan taraf seseorang dan dihormati di mata masyarakat.  Kejayaan di dunia memerlukan imu apatah lagi kejayaan di sisi Allah Azzawajalla. 

Orang yang berilmu akan dapat membezakan perkara yang betul atau salah di sisi Islam mengikut pengetahuannya dan ilmulah yang boleh membantu menyelamatkan dirinya.

Kita ambil contoh dalam bab rasuah. Mungkin sesetengah orang ada yang menganggap bahawa ia adalah perkara yang biasa jika pemberiannya hanya dalam nilai yang sedikit. Sedangkan, rasuah itu bukan pada nilainya; sama ada sedikit atau banyak, ia tetap rasuah dan dosa yang perlu dicegah.

Di sinilah peranan ilmu yang akan membendung diri individu. Orang yang berpengetahuan pasti merasai kesan dan akibatnya bukan sahaja dalam agama namun pada sekeliling.

Jadi, entri kali ini akan membawa pembaca kepada sebuah hadis Rasulullah SAW mengenai martabat ilmu yang diriwayatkan dalam Sohih Iman Bukhari. Imam al-Bukhari meriwayatkan hadis ini di bawah Bab Orang yang duduk di bahagian akhir majlis dan orang yang melihat ada celah di dalam halaqah kemudian dia duduk di sana.

Maksud: “Ismail menyampaikan kepada kami daripada Malik yang menyampaikan kepadaku, dari Ishaq bin Abdullah bin Abu Thalhah bahwa Abu Murrah – maula Aqil bin Abu Thalib – mengabarkan kepadanya daripada Abu Waqid Al Laitsi, bahawa Rasulullah SAW duduk di masjid bersama para sahabat, datanglah tiga orang. Dua orang menuju halaqah Nabi SAW dan yang seorang lagi pergi. Salah satu daripada dua orang itu melihat ada celah di dalam halaqah lalu dia duduk di sana, sedangkan yang kedua duduk di belakang mereka.  Sementara itu, orang yang ketiga telah berbalik pergi. Setelah urusan Rasulullah SAW selesai, beliau bersabda: “Mahukah kalian aku beritahu tentang ketiga orang tadi?” Seseorang di antara mereka meminta perlindungan kepada Allah, Allah pun melindunginya. Orang kedua merasa malu kepada Allah, Allah pun malu kepadanya. Sementara itu, orang ketiga berpaling daripada Allah, maka Allah berpaling daripadanya. (Hadis Riwayat Bukhari, no. 66, Tirmizi, no. 2724)

Dalam hadis ini, Baginda menceritakan perihal tiga golongan, iaitu yang meminta perlindungan dari Allah, yang malu dengan Allah dan juga yang berpaling dari Allah.

Mari kita lihat satu persatu huraian hadis ini.

#1 – Meminta Perlindungan Dari Allah

Rasulullah SAW memberitahu para sahabat mengenai lelaki pertama ini dengan bersabda – “Seorang di antara mereka meminta perlindungan kepada Allah, Allah pun melindunginya”

Duduk di dalam majlis ilmu bermakna seseorang itu sedang berusaha mendekatkan dirinya kepada Allah, sudah tentu Allah juga mendekat kepadanya dengan memberi rahmat dan perlindunganNya serta mendapat ganjaran syurga.

Orang yang menjaga adab dan mempunyai kesungguhan dalam menuntut ilmu seperti lelaki pertama ini sudah tentu akan mendapat balasan yang setimpal daripada Allah swt. Ini selaras dengan ayat 20 Surah Al-Muzzammil yang bermaksud:

“Dan (ingatlah) apa jua yang kamu kerjakan sebagai bekalan untuk diri kamu, tentulah kamu akan mendapat balasannya pada sisi Allah.”

#2 – Orang Yang Merasa Malu Dengan Allah

Bagaimana pula dengan kedudukan orang kedua? Jika orang kedua ini berusaha untuk mengatasi masalah malunya dan menyertai halaqah Rasulullah SAW sudah tentu kedudukannya akan sama dengan orang pertama.

Atau dalam istilah sekarang, sekadar ambil syarat, maka dia terlepas dari mendapat kelebihan berada di hadapan dan mendengar perkongsian Rasulullah SAW dengan jelas.

#3 – Orang Yang Berpaling Dari Allah

Sangatlah ruginya orang ketiga seperti sabda di atas. Bagaimana lelaki ini dapat meraih reda Allah SWT sebaliknya hanya meraih murkaNya kerana beliau sendiri tidak ingat kepada Allah.

Beliau tidak menghargai dan cinta kepada ilmu dengan meninggalkan majlis-majlis yang disediakan. Sudah tentu balasan kepada sikap beliau itu akan sama dengan perbuatannya iaitu dia tidak diberikan ilmu dan mendapat pahala Allah SWT.

Antara pengajaran penting daripada hadis ini adalah:

#1 – Taqarrublah dengan Allah SWT (mendekatkan diri) dengan meluangkan masa untuk menghadiri majlis ilmu kerana Allah menjanjikan balasanNya kepada amal yang kita lakukan;

#2 – Sikap kita akan menentukan berapa banyak ilmu dan rahmat Allah SWT yang kita akan perolehi;

#3 – Pentingnya datang awal ke sesuatu majlis ilmu supaya boleh mengisi ruang di hadapan dan dapat mendengar sejelas-jelasnya apa yang disampai oleh guru;

#4 – Menjaga adab di majlis ilmu iaitu mengisi ruang kosong di sesuatu majlis ilmu bagi memudahkan orang yang kemudian untuk duduk.

Realiti hari ini, ramai dalam kalangan jemaah yang tidak mahu bergerak ke hadapan sebaliknya hanya  mengisi ruang di belakang bahagian masjid atau surau kerana menyangkakan ruang di hadapan telah dipenuhi atau tidak bersungguh untuk ke hadapan.

#5 – Datanglah ke majlis ilmu dengan persediaan contohnya membawa kitab dan buku nota.

Dalam sebuah hadis qudsi disebut – “Aku sesuai dengan dugaan hambaKu kepadaKu, dan Aku bersama dengannya ketika ia ingat kepadaKu. Jika ia ingat kepadaKu di dalam hatinya, Aku pun ingat pula kepadanya di dalam hatiKu. Dan jika  ia ingat kepadaKu dalam lingkungan khalayak ramai, nescaya Aku pun  ingat  kepadanya dalam lingkungan  khalayak ramai yang lebih baik. Dan jika ia mendekat kepadaKu sejengkal, Aku pun mendekat kepadanya sehasta. Dan jika ia mendekat kepadaKu sehasta, niscaya Aku mendekat kepadanya sedepa. Dan jika ia datang kepadaKu berjalan, maka Aku mendatanganya sambal berlari.” (Hadis Riwayat Bukhari no. 7405)

Kesimpulan

Subhanallah, begitu pemurahnya Allah SWT kepada hambaNya. Mengapa kita masih berkira-kira dengan Allah? Setengah jam berada di majlis ilmu terasa begitu panjang bagi kita, sedangkan dua jam menatal telefon bimbit atau lepak, masanya tidak terasa langsung oleh kita.

Jadi, jom perbaharui azam 2021 dengan menambah kehadiran di majlis ilmu walau di mana ia diadakan, baik dengan hadir ke surau dan masjid atau secara atas talian.

Mudah-mudahan kita semua tergolong dalam kalangan hamba yang sentiasa mengingatiNya

Rujukan:
Tafsir Pimpinan Ar-Rahman
Ensiklopedia Hadis Sahih Al-Bukhari 1 & 2
Hadis Qudsi Pustaka Al-Azhar

The post Martabat llmu Di Sisi Islam Berdasarkan Hadis first appeared on Tazkirah.




No comments:

Powered by Blogger.