Ads Top

Cik B Macam Tak Percaya Tolonglah Boleh Jadi Viral & Trending No. 1

Ahli perniagaan muda yang mula berjinak-jinak dalam bidang nyanyian, Cik B mencipta rekod tersendiri apabila video muzik lagu Tolonglah yang dilancarkan pada 1 Disember lalu kekal di kedudukan nombor satu carta trending.

Lebih menarik lagi apabila video muzik yang ditayangkan di saluran YouTube Seventeen Eleven Music itu sudah mencecah tiga juta tontonan dalam tempoh seminggu.

Cik B, 15, atau nama sebenarnya Edlynn Zamilleen Muhammad Amin berkata, dia tidak pernah menjangka lagu dan video muzik itu akan menjadi tular dan ‘trending’.

“Sejujurnya saya berasa amat gembira dengan pencapaian diraih lagu ini sekarang. Saya macam tidak percaya boleh menghasilkan lagu yang mendapat perhatian orang ramai sehingga ‘trending’.

“Saya menjangkakan lagu ini akan mencecah 3 juta tontonan hari ini. Apabila lagu dan video muzik ini dilancarkan, diakui saya tidak pernah meletakkan sasaran untuk ‘trending’. Sebab saya tahu ada yang tidak berapa suka dengan genre lagu ini,” ujarnya.

Jelas Cik B, dia juga mahu mengucapkan terima kasih kepada yang sudah menonton dan memberi komen positif terhadap lagu berkenaan.

“Bagi yang memberikan tanda ‘dislike’, saya pun tidak tahu sebab apa. Mungkin mereka tidak tengok lagi tapi dah ‘dislike’.

“Mungkin juga mereka adalah ‘haters’, jadi dengki dengan saya. Tidak mengapalah, biarlah mereka puaskan hati sendiri dengan cara itu,” katanya.

Biarpun setelah 10 hari dilancarkan, muzik video Tolonglah nyanyian Cik B masih lagi menjadi trending no.1 di YouTube.

Dalam masa sama, Cik B yang juga anak kepada usahawan terkenal Datuk Seri Vida berkata selepas ini dia akan muncul dengan video muzik lirik dengan video berbeza.

Malah, Cik B berpesan kepada orang ramai yang memperkecilkan bakatnya supaya tidak menyimpan perasaan iri dan benci terhadap dirinya.

“InsyaAllah… selepas ini saya mahu buat video lirik yang mana menampilkan video lain pula.

“Bagi mereka yang memperkecilkan bakat saya, kita tak boleh benci orang. Simpan saja kalau sakit hati sebab saya tidak pernah sakitkan hati mereka,” katanya.

Mengenai kritikan membabitkan kualiti video muzik, Cik B berharap mereka di luar sana lebih memahami dan turut mengakui video muzik lagu berkenaan tidaklah sehebat dan sebagus video muzik penyanyi lain.

“Dalam erti kata lain banyak kekurangan terutama pelakon yang terbabit sebab saya menggunakan khidmat kakitangan mama untuk berlakon kecuali pelakon yang melakonkan watak saya. Selain itu saya juga masih belum pandai buat ‘lip sync’. Jadi, memang akan nampak pelik.

“Jadi, untuk segala kritikan saya sudah bersedia termasuk yang akan ‘dislike’. Walaupun kecaman diterima akan membuatkan saya berasa lemah semangat, tapi saya buat tidak tahu saja. Ibaratnya masuk telinga kanan, keluar telinga kiri.

“Segala komen jahat dan tidak membina, saya tidak mahu hiraukan. Ini kerana, saya sudah terbiasa sejak umur 11 tahun lagi. Tapi, apa yang membuatkan saya yakin adalah beberapa orang yang sudah melihat video muzik ini turut menangis dan rasa apa yang ingin disampaikan dalam lagu dan video muzik,” katanya.

Berkongsi mengenai lagu ciptaan bersama ibunya itu, Cik B yang juga pelakon drama bersiri Lelaki Lingkungan Cinta (LLC) yang ditayangkan di TV3 baru-baru ini berkata, lirik lagu itu menceritakan kisah silam dan pengalaman sadis Cik B yang menjadi mangsa dera pembantu rumah, kisah ibunya didera dan kematian menyayat hati abangnya.

“Lirik lagu ini mengenai diri sendiri iaitu apa yang saya alami sejak kecil sampai sekarang yang mana saya pernah kena dera dengan bibik (pembantu rumah), pernah melihat mak didera dan abang meninggal dunia depan mata.

“Secara luaran orang melihat saya gembira dan ‘happy go lucky’, tapi dalaman tidak. Saya hanya menceritakan apa yang berlaku. Mama pun okay sebab dia juga turut menyumbang dalam penulisan lirik.

“Sejujurnya, saya tidak sabar menunggu reaksi daripada warganet. Saya bersedia apa saja kritikan yang bakal diterima. Namun, saya tidak meletakkan harapan tinggi agar mereka menyukai lagu dan muzik video lagu ini sebab tidak semua melalui pengalaman saya.

“Paling penting, lagu ini bukan dihasilkan untuk kepuasan peminat, tapi ia adalah kepuasan peribadi selepas menceritakan segala pengalaman dalam lagu ini. Siapa tidak boleh terima, tidak mengapa,” katanya. – KopiPlanet.com

The post Cik B Macam Tak Percaya Tolonglah Boleh Jadi Viral & Trending No. 1 appeared first on KopiPlanet.com.




No comments:

Powered by Blogger.