Benarkah Kisah Ukasyah Yang Meminta Untuk Memukul Rasulullah
Ada sebuah peristiwa di mana ketika Baginda SAW sedang sakit dan menghampiri kematian, Baginda bertanya kepada sahabat tentang sesiapa yang mempunyai hutang dengannya hendaklah menuntutnya daripada Rasulullah.
Kemudian, ada seorang sahabat yang bernama Ukasyah tampil menyebut bahawa beliau ingin memukul Rasulullah sama seperti perlakuan Baginda yang pernah memukulnya.
Baginda berkata – “Wahai Ukasyah, pukullah aku jika benar bahawa aku pernah memukulmu.”
Maka, Ukasyah berkata – “Wahai Rasulullah, kamu telah memukulku dalam keadaan perutku terdedah.”
Rasulullah kemudian membuka bajunya dan waktu itu umat Islam yang melihatnya menangis dengan penuh kesyahduan. Mereka berkata – “Adakah kamu akan melihat Ukasyah memukul Rasulullah SAW?”
Kemudian, Ukasyah melihat perut Rasulullah, lalu beliau terus menciumnya.
Kisah ini ada diriwayatkan oleh At-Thabrani. Namun, status kisah ini dibahaskan ulama sebagai kisah yang tidak sahih. Hal ini kerana, ia dinilai melalui seorang perawi yang berdusta.
Menurut Imam Ibnu Hajar Al-Haitami, katanya perawi yang bernama Abd al-Mun’im bin Idris adalah seorang perawi yang berdusta. Ia dipersetujui oleh Imam Ibn Iraq al-Kinani dan Imam Al-Syaukani.
Justeru, hadis ini dinukil palsu kerana berlaku permasalahan ke atas perawinya.
Namun, ada sebuah peristiwa yang lebih kurang sama diceritakan tetapi ia tidak terjadi kepada Ukasyah, sebaliknya terhadap Usaid bin Hudhair. Kisah ini dinukil melalui Imam Abu Daud, Imam al-Baghawi di dalam Syarh al-Sunan dan Imam At-Thabrani.
Mereka menilai kisah Usaid adalah kisah yang sahih kerana perawinya yang thiqah (dipercayai).
Sumber:
Mufti Wilayah Persekutuan
The post Benarkah Kisah Ukasyah Yang Meminta Untuk Memukul Rasulullah first appeared on Tazkirah.
No comments: