Benarkah Dosa Anak Perempuan Ditanggung Bapanya
Peranan suami atau bapa dalam sesebuah rumah tangga amat besar. Tugas mereka bukan sekadar mencari rezeki dan memenuhi keperluan ahli keluarga, bahkan lebih daripada itu.
Tanggungjawab dan amanah lelaki dalam menggalas tugas rumah tangga amat besar. Mereka perlu memberi didikan yang baik dan menjaga ahli keluarga mereka daripada api neraka.
Sebagaimana dalam firman Allah yang menyebut;
Mafhum: “Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala).” (Surah At-Tahrim, 66:6)
Dalil ini menyuruh setiap dari kita yang beriman dan percaya kepada Allah agar menjauhi diri kita daripada perkara-perkara yang memudaratkan serta menjaga ahli keluarga daripada melakukan perkara mungkar.
Ia bukanlah bermaksud tugas menjaga ahli keluarga itu tertumpu kepada bapa sahaja. Namun, sebagai ketua keluarga, pastinya ia adalah tugas yang perlu digalas.
Dengan perkara ini, wujudnya persoalan, adakah bapa dikira menanggung dosa anak-anaknya terutama anak perempuan?
Secara tepatnya, setiap ahli keluarga bertanggungjawab menjaga ahli keluarga daripada ditimpa kemudaratan.
Jadi, jika terdapat kekurangan, kesilapan mahupun dosa yang dilakukan, maka bapa perlu menegur anak-anaknya sehabis baik.
Namun, berkenaan dosa yang dilakukan, ia ditanggung oleh diri sendiri. Hal ini adalah berdasarkan kalam Allah yang bermaksud:
“Dan tiadalah (kejahatan) yang diusahakan oleh tiap-tiap seorang melainkan orang itulah sahaja yang menanggung dosanya, dan seseorang yang boleh memikul tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain (bahkan dosa usahanya sahaja).” (Surah Al-An’am, 6:164)
Kesimpulan
Dosa individu adalah ditanggung oleh insan tersebut sendiri dan tidak akan ditanggung oleh orang lain.
Justeru, bapa tidak menanggung dosa anak perempuannya atau anak-anak yang lain.
Namun, bapa hanya menanggung dosanya sendiri yang tidak menegur atau mendidik ahli keluarganya dengan baik.
Wallahu a’alam
Rujukan:
Mufti Wilayah Persekutuan
The post Benarkah Dosa Anak Perempuan Ditanggung Bapanya first appeared on Tazkirah.
No comments: