Adakah Mendengar & Membaca Al-Quran Akan Mendapat Ganjaran Yang Sama
Medengar bacaan Al-Quran akan diberi ganjaran pahala, apatah lagi jika membacanya sendiri, maka lagi banyak pahala yang akan Allah kurniakan.
Sebagaimana dalam kalam Allah yang menyebut bahawa apabila seseorang itu mendengar bacaan Al-Quran, maka Allah akan melimpahkan rahmat buatnya.
Mafhum: “Dan apabila Al-Quran itu dibacakan, maka dengarlah akan dia serta diamlah (dengan sebulat-bulat ingatan untuk mendengarnya) supaya kamu beroleh rahmat.” (Surah Al-A’raf, 7:204)
Manakala, dalam sebuah dalil lain yang menyebut bahawa ganjaran membaca Al-Quran itu adalah bukan bergantung kepada surah atau ayat yang dibaca, tetapi berdasarkan huruf yang disebut.
Sebagaimana yang disebutkan dari Abdullah ibn Mas’ud, Rasulullah SAW bersabda:
Maksud: “Barangsiapa yang membaca satu huruf dari kitabullah (Al-Quran), maka untuknya satu kebaikan, sedang satu kebaikan itu akan dibalas dengan sepuluh kali ganda seperti itu. Aku tidak mengatakan alif laam miim itu sebagai satu huruf. Tetapi aliif adalah satu huruf, laam satu huruf dan miim juga satu huruf.” (HR Tirimizi, no. 2910)
Dalil-dalil di atas menunjukkan bahawa setiap pembaca dan orang yang mendengar bacaan Al-Quran mempunyai ganjaran dan manfaatnya yang tersendiri.
Ulama membahaskan bahawa tiada hujah yang menyebut bahawa ganjaran mereka adalah sama kerana rahmat yang Allah berikan ke atas perbuatan tersebut adalah berbeza-beza.
Bagaimanapun, kedua-duanya adalah amalan yang baik. Jika anda memasang bacaan suci Al-Quran untuk didengari sambil melakukan kerja mahupun sebagai terapi sebelum tidur, maka itu adalah perbuatan yang baik dan mulia.
Ditambah lagi, jika sambil mendengar bacaan tersebut, mulut anda turut membacanya, maka Allah akan melimpahkan rahmat yang lebih luas lagi buat anda.
Justeru, hiasi hari anda dengan Al-Quran sama ada ia dibaca sendiri oleh mulut anda mahupun anda mendengarnya daripada rakaman atau orang sekeliling.
Sumber:
Konsultasi Syariah
The post Adakah Mendengar & Membaca Al-Quran Akan Mendapat Ganjaran Yang Sama first appeared on Tazkirah.
No comments: