Ads Top

#84 – Asas Kebahagiaan Rumah Tangga – Apa Peranan Suami Terhadapnya

Imam Nawawi telah menukilkan beberapa asas kebahagiaan rumah tangga menurut perspektif kepada peranan dan tanggungjawab setiap ahlinya.

Asas yang ditekankan ini ada ditulis dalam karangan kitab beliau, iaitu Kitab Riyadh al-Solihin dan untuk entri kali ini, kita akan memperlihatkan bagaimana peranan suami bagi memastikan keharmonian rumah tangga sentiasa bahagia.

#1 – Suami perlu belajar mengenali dan memahami sifat semulajadi isteri.

Setiap manusia mempunyai kelebihan dan kekurangannya sendiri. Apabila pasangan tersebut telah bersedia untuk melangsungkan perkahwinan, maka mereka telah berjanji untuk menerima setiap kekurangan dan kelemahan masing-masing.

Jika kefahaman tidak wujud, bagaimana toleransi sesama pasangan akan muncul? Perkara ini sepatutnya menjadi perkara asas dalam rumah tangga kerana ia boleh mengelakkan berlakunya perkara yang lebih besar seperti pergaduhan.

#2 – Memberi layanan yang terbaik kepada isteri

Isteri merupakan orang yang paling rapat dengan suami. Jika si suami memberikan isterinya kasih sayang, maka si isteri akan memberinya cinta yang melebihi segalanya.

Sifat perempuan adalah lembut dan memerlukan kasih sayang daripada orang sekelilingnya terutamanya yang paling rapat dengannya.

Justeru, untuk menjadikan isteri itu taat dan menghormati suaminya, maka suami terlebih dahulu perlu meletakkan usaha ke atas isterinya dengan memberi layanan yang terbaik buatnya.

Maksud: “Sebaik-baik kalian adalah yang paling baik kepada isterinya dan aku (Nabi SAW) adalah orang yang paling baik di antara kalian kepada isteriku.” (HR Ibnu Majah, no. 1621)

#3 – Memberi didikan dan nasihat kepada isteri dengan lemah lembut

Didikan agama dan ilmu merupakan asas rumah tangga yang paling penting untuk membina kebahagiaan di dalamnya.

Dan kepada suami, didikan yang baik, lemah lembut serta teguran yang membina adalah kaedah yang terbaik dalam mendidik isteri.

Mafhum: “Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan dan rahmatNya bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki) isteri-isteri dari jenis kamu sendiri supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan.” (Surah Ar-Rum, 30:21)

#4 – Memberi nafkah kepada isteri sekadar mampu

Para ulama menyebut bahawa nafkah kepada isteri adalah wajib diberikan dan ia untuk menyediakan keperluan di bawah tanggungannya seperti makanan, barang dapur, pakaian serta tempat tinggal.

Baginda SAW sentiasa berusaha memberi nafkah kepada isteri dan ahli keluarganya berdasarkan kemampuannya dan tidak melebih-lebih.

Aturan Islam juga adalah dengan menganjurkan kita untuk memberi namun tidak sehingga membebankan diri kita sendiri.

Maksud: “Sebaik-baik dinar (wang atau harta) yang dinafkahkan seseorang ialah dinar yang dinafkahkan untuk keluarganya dan dinar yang dinafkahkan untuk ternakan tunggangannya (kenderaan) yang digunakan di jalan Allah dan dinar yang dinafkahkan untuk para sahabatnya yang berjuang di jalan Allah.” (HR Muslim, no. 994)

#5 – Berlaku adil buat suami yang berpoligami

Mafhum: “Dan kamu tidak akan dapat berlaku adil di antara isteri-isteri kamu sekali pun kamu bersungguh-sungguh (hendak melakukannya); oleh itu janganlah kamu cenderung dengan melampau (berat sebelah kepada isteri yang kamu sayangi) sehingga kamu biarkan isteri yang lain seperti benda yang tergantung (di awan-awan).” (Surah An-Nisa, 4:129)

Setiap ahli keluarga memainkan peranan yang besar dalam memastikan keharmonian keluarga sentiasa berkekalan.

Namun, tugas suami adalah yang paling utama kerana mereka adalah tonggak keluarga dan ketua kepada bahtera yang dibina.

Sumber:
Riyadh As-Solihin, Imam Nawawi

The post #84 - Asas Kebahagiaan Rumah Tangga - Apa Peranan Suami Terhadapnya first appeared on Tazkirah.




No comments:

Powered by Blogger.