Ads Top

4 Aplikasi Mudah Membaca Buku Secara Digital

Jika ditanya adakah anda gemar membaca buku secara bercetak atau buku digital (e-book), pastinya ramai dalam kalangan kita yang akan menjawab mereka lebih gemar membaca buku secara bercetak.

Sebuah tinjauan daripada PTS yang telah dijalankan pada tahun 2017 menunjukkan bahawa seramai 78 peratus daripada pembaca gemar membaca buku secara bercetak.

Walaupun harga buku boleh mencecah ratusan ringgit, terutamanya bahan bacaan yang bersifat ilmiah atau bukan fiksyen, namun satu kepuasan boleh hadir buat pencinta buku ini apabila mereka melaburkan wang kepada perkara yang mampu mendatangkan pulangan yang besar untuk diri mereka sendiri.

Namun, tidak semua dari kalangan yang mencintai buku ini mempunyai kemampuan untuk membeli. Jika dulu, amat mudah untuk meminjam buku. Pergi sahaja ke perpustakaan sekolah atau universiti, seseorang boleh menghabiskan masa di sana.

Kini, disebabkan banyak kekangan yang berlaku terutamanya pada masa kita semua perlu berwaspada dengan perbelanjaan, jadi pastinya ramai yang mencari alternatif mudah untuk membaca buku.

Antaraya adalah dengan menggunakan laman buku digital untuk menambah pengetahuan. Dengan berkembangnya teknologi hari ini, semuanya boleh diakses di hujung jari, tidak ketinggalan juga bahan bacaan kita.

Jadi, kali ini apa kata kita melihat beberapa platform yang mudah untuk mendapatkan bahan bacaan secara digital.

#1 – PNM – eLib eBook Portal

Tahukah anda, Perpustakaan Negara Malaysia telah menawarkan bahan bacaan secara digital? Anda hanya perlu mendaftar di laman ini dan boleh meminjam buku yang diminati.

Ia boleh didapati secara atas talian melalui laman rasmi PNM.eLib atau anda juga boleh muat turun aplikasi ini di dalam telefon pintar pada pautan ini; PNM eReader.

#2 – eSentral.com

Laman ini menawarkan lebih daripada 10 000 buah buku untuk dibaca. Ia juga merupakan antara laman digital buku paling lama yang telah wujud.

Anda boleh membuat pilihan sama ada untuk membuat bacaan romantik, bacaan am, bacaan sekolah, motivasi, kanak-kanak, tips dan banyak lagi.

Bukan itu sahaja, ia juga menawarkan bahan bacaan dari luar negara dengan harga yang berpatutan.

Untuk membuat bacaan, anda boleh menekan pautan yang disediakan; eSentral

#3 – Kaki Buku

Kaki Buku merupakan sebuah platform yang juga menjual buku-buku fiksyen dan bukan fiksyen dari terbitan penerbit Malaysia secara atas talian.

Mereka menawarkan bahan bacaan dari sudut kerohanian, biografi, gaya hidup, komik, penerbitan dan kewangan serta kanak-kanak.

Anda boleh melayari platform mereka melalui laman kakibuku.my atau ia boleh dimuat turun melalui aplikasi App Store dan juga Google Play.

#4 – Book Capital

Book Capital dimiliki oleh Perbadanan Kota Buku yang telah ditubuhkan pada 2011 dengan objektifny untuk memupuk minat membaca dalam kalangan masyarakat.

Anda perlu mendaftar akaun secara percuma terlebih dahulu dan boleh memilih bahan bacaan yang diminati.

Apa yang menariknya adalah ia membekalkan koleksi Profesor Diraja yang membawakan penulisan daripada Almarhum Profesor Ungku Aziz serta banyak lagi bahan bacaan yang menarik sama ada dari sudut fiksyen dan bukan fiksyen.

Anda boleh layari bookcapital.my untuk mendapatkan bahan bacaan dan maklumat lanjut.

Kesimpulan

Kini, semua orang boleh membaca buku tanpa batas dan kekangan masa. Anda boleh sahaja menggunakan aplikasi atau platform ini dengan mendaftar secara percuma bagi mendapatkan bahan bacaan.

Sumber:
Aplikasi Membaca Buku

The post 4 Aplikasi Mudah Membaca Buku Secara Digital first appeared on Tazkirah.




No comments:

Powered by Blogger.