Ads Top

Yonnyboii Beri Nafas Baharu Menerusi Lagu Salahku 3.0

Penyanyi dan rapper muda berbakat besar, Yonnyboii kini tampil dengan versi lagu Salahku 3.0 yang diberi nafas baharu.

Sejak melatari drama ‘Budak Tebing’ yang ditayangkan di Slot Lestary TV3 pada April lalu, single Salahku ciptaan dan dendangan penyanyi ini mula menjadi siulan ramai. Sehingga ke hari ini lagu ini masih mendapat sambutan peminat muzik Malaysia.

Bagi mengekalkan kelangsungan lagu ini Yonny atau nama sebenarnya, Muhammad Haqeem Nuriman Nor Azrin, 22, mempertaruhkan versi terbaharu lagu ini yang diberi judul sebagai Salahku 3.0.

Lagu yang siap dicipta pada Jun 2019 ini, mempunyai dua versi terdahulu; versi demo berdurasi dua minit yang pernah dikongsikan di media sosial Yonny tahun lepas dan versi penuh berdurasi empat minit yang dilancarkan pada April lalu.

Menerusi Salahku 3.0 Yonny cuba mempamerkan sisi berbeza dari segi gubahan muzik serta jiwa lagu itu sendiri. Mengulas tentang versi terbaharu yang berdurasi 3:15 minit ini, Yonny berkata, “Dalam versi terbaharu ini, lagu ini bukan sahaja diberi gubahan yang lebih segar malah lirik lagu ini juga dirombak sedikit bagi menyuntik semangat dan jiwa berbeza kepada lagu ini.”

“Walaupun perubahannya nampak kecil namun ianya membawa makna yang sedikit berbeza. Saya menyerahkan kepada peminat untuk menilai apa yang cuba saya sampaikan menerusi versi terbaharu ini,” katanya.

Lagu ini diterbitkan oleh Universal Music Malaysia dengan kerjasama Def Jam Malaysia. Salahku 3.0 boleh didapati di platform digital seperti Spotify, Apple Music, YouTube Music, JOOX, iTunes, KKBox dan Deezer. Manakala video lirik lagu ini boleh ditonton di saluran YouTube Universal Music Malaysia. – KopiPlanet.com

The post Yonnyboii Beri Nafas Baharu Menerusi Lagu Salahku 3.0 appeared first on KopiPlanet.com.




No comments:

Powered by Blogger.