Ads Top

Hentikan Stigma Perigi Cari Timba, Wanita Juga Boleh Mula Dahulu

Istilah perigi cari timba sudah tidak asing lagi dalam masyarakat kita. Ia adalah perumpamaan yang diberikan kepada kaum wanita yang berani melamar atau mencari calon lelakinya terlebih dahulu.

Jika dilihat, ia bukanlah perkara yang salah. Bahkan, tiada masalah untuk melakukannya kerana ia adalah salah satu usaha yang diletakkan untuk mencari jodoh.

Islam amat menggalakkan perkahwinan kerana melaluinya, ia akan membawa kepada perkembangan generasi dan umat.

Berbalik kepada situasi perigi mencari timba; walaupun ia bukan perkara yang asing namun ia masih dianggap pelik oleh sesetengah orang. Bahkan, ada segelintir yang menganggap bahawa perbuatan ini dianggap melanggar adat.

Hal ini kerana, secara kebiasaannya, lelaki yang akan mengambil langkah dahulu untuk melamar wanita kerana sifatnya yang berani.

Islam sendiri tidak membatasi lamaran yang diajukan, sama ada lelaki kepada wanita mahupun wanita yang memulakan dahulu.

Dari Tsabit al-Bunani bahawa Anas bin Malik pernah berkata:

Maksud: “Ketika saya berada di rumah Anas dan pada waktu itu ada bersama anak perempuannya. Anas berkata: “Seorang wanita pernah datang menawarkan kepada Rasulullah untuk menjadi isterinya. Kemudian, anak perempuan Anas berkata: “Perempuan itu tidak malu, wahai ayahku.” Kemudian, Anas berkata: “Tidak. Bahkan perempuan itu lebih mulia darimu kerana beliau telah menawarkan dirinya untuk berkahwin dengan Rasulullah.” (Hadis Riwayat Bukhari, no. 5120)

Justeru, tiada masalah untuk kaum wanita melamar lelaki dahulu. Ini ditambah juga jika sikap lelaki tersebut yang pemalu.

Sebagaimana Saidatina Khadijah juga yang melamar Baginda SAW kerana tertarik dengan peribadinya.

Diriwayatkan bahawa beliau telah menghantar orang tengahnya yang bernama Nafisah untuk menyatakan hasratnya kepada Baginda SAW.

Kesimpulan

Oleh itu, masyarakat seharusnya mengubah persepsi negatif mereka terhadap istilah perigi cari timba ini kerana ia merupakan stigma yang boleh ‘mengurung’ kaum wanita sendiri.

Tiada masalah jika lamaran itu datang dari belah lelaki dahulu mahupun wanita, kerana Islam tidak membataskannya kepada mana-mana jantina.

Jika ia adalah usaha yang murni ke arah sebuah ikatan yang suci, maka laksanakanlah ia juga dengan cara yang baik.

Sumber:
Ustaz Khalid Bassalamah – Bolehkah Seorang Wanita Melamar Lelaki

The post Hentikan Stigma Perigi Cari Timba, Wanita Juga Boleh Mula Dahulu first appeared on Tazkirah.




No comments:

Powered by Blogger.