Ads Top

Hadis Tentang Keutamaan Mempunyai Anak Perempuan

Rata-rata dari kita mungkin pernah mendengar perkongsian dan luahan yang menyebut; tak mudah rupanya menjaga anak perempuan.

Menjaga dan mendidik anak perempuan tak sama seperti didikan terhadap anak-anak lelaki. Walaupun kita sedar bahawa setiap dari mereka pasti mempunyai cabarannya tersendiri, namun, pasti kerisauan itu dilebihkan sedikit terhadap anak perempuan.

Kita tidak boleh sewenang-wenangnya membiarkan mereka tidur merata. Adat dan adab juga perlu dititiberatkan agar mereka tidak jauh terikut dengan budaya baru.

Mereka juga perlu diajar tentang kasih sayang dan harga diri agar maruah mereka akan terbela sepanjang hayat.

Semuanya perlu diajar dengan baik. Bahkan, ibu bapa tidak boleh malu atau segan untuk menurunkan ilmu kepada mereka, bimbang jika mereka akan mendapatkannya di tempat yang salah.

Disebabkan itu, kesabaran buat pasangan yang dikurniakan anak perempuan akan diganjari dengan pahala yang berlipat kali ganda.

Sebagaimana dalam beberapa dalil yang telah disebut oleh Baginda SAW, iaitu:

#1 – Menjadi Benteng Kepada Orang Tua Di Neraka

Pada suatu hari, ada seorang wanita yang telah datang menemui Saidatina ‘Aisyah bersama dengan dua orang anak perempuannya.

Namun, pada waktu itu, ‘Aisyah tidak mempunyai apa-apa untuk diberikan. Jadi, ‘Aisyah telah memberikan kurma kepada wanita tersebut.

Wanita itu kemudia membahagiakan kurma itu kepada dua bahagian dan memberikannya kepada anak-anaknya, namun dirinya tidak mengambilnya. Lalu, wanita itu berlalu pergi.

Kemudian, Baginda SAW datang dan ‘Aisyah telah menceritakan kejadian tersebut kepada Rasulullah. Lalu, Baginda bersabda:

مَنِ ابْتُلِيَ مِنْ هَذِهِ البَنَاتِ بِشَيْءٍ كُنَّ لَهُ سِتْرًا مِنَ النَّارِ

Maksud: “Siapa yang diuji dengan kehadiran anak perempuan, maka anak itu akan menjadi benteng baginya di neraka.” (Hadis Riwayat Ahmad, no. 24055)

Dalam riwayat lain, Baginda menyebut:

مَنْ كَانَ لَهُ ثَلَاثُ بَنَاتٍ فَصَبَرَ عَلَيْهِنَّ، وَأَطْعَمَهُنَّ، وَسَقَاهُنَّ، وَكَسَاهُنَّ مِنْ جِدَتِهِ كُنَّ لَهُ حِجَابًا مِنَ النَّارِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ

Maksud: “Sesiapa yang memiliki 3 anak perempuan kemudian dia bersabar dengannya, memberi makan, minum dan pakaian hasil dari usahanya, maka semuanya akan menjadi benteng dari panas neraka pada hari kiamat kelak.” (Hadis Riwayat Abu Daud, 7/460)

#2 – Mempunyai Kedudukan Yang Dekat Dengan Rasulullah

مَنْ عَالَ جَارِيَتَيْنِ حَتَّى تَبْلُغَا، جَاءَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ أَنَا وَهُوَ» وَضَمَّ أَصَابِعَهُ

Maksud: “Sesiapa yang menanggung nafkah dua anak perempuan sehingga baligh, maka pada hari kiamat, antara saya dan dia seperti ini (Baginda menggabungkan kedua jarinya; jari telunjuk dan jari tengah).” (Hadis Riwayat Muslim, no. 2631)

Dalam riwayat lain juga, Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ عَالَ ابْنَتَيْنِ أَوْ ثَلَاثَ بَنَاتٍ، أَوْ أُخْتَيْنِ أَوْ ثَلَاثَ أَخَوَاتٍ، حَتَّى يَبِنَّ أَوْ يَمُوتَ عَنْهُنَّ، كُنْتُ أَنَا وَهُوَ كَهَاتَيْنِ ” وَأَشَارَ بِأُصْبُعَيْهِ السَّبَّابَةِ وَالْوُسْطَى

Maksud: “Sesiapa yang menafkahi dua atau tiga anak perempuan atau saudara perempuan sehingga mereka menikah atau sampai dia mati, maka aku dan dia seperti dua jari ini. Baginda berisyarat dengan dua jari, iaitu jari telunjuk dan jari tengah.” (Hadis Riwayat Ahmad. 12498)

Kesimpulan

Setiap cahaya mata yang ada, pastinya mempunyai cabaran dan dugaan yang ditempuh. Namun, jika seseorang itu bersabar dan menjaga mereka bagai menatang minyak yang penuh, maka tuhan akan mengganjarkan mereka dengan kebaikan baik di dunia mahupun di akhirat.

The post Hadis Tentang Keutamaan Mempunyai Anak Perempuan first appeared on Tazkirah.




No comments:

Powered by Blogger.