Ads Top

Dalil Yang Menyebut Wajib Tunai Solat Zohor Jika Ditangguhkan Solat Jumaat

Kita masih berada dalam pandemik COVID-19 yang menyebabkan norma baharu telah menjadi kebiasaan pada hari ini.

Beberapa perkara yang biasa dilakukan kini sudah tidak lagi menjadi kebiasaan, manakala perkara yang tidak pernah atau jarang diamalkan, kini sudah menjadi kebiasaan.

Sama ada dari segi gaya kehidupan mahupun aktiviti keagamaan, perkara-perkara ini sedikit sebanyak mengubah kehidupan kita.

Jangan menganggap bahawa perkara ini sebagai sesuatu yang remeh kerana setiap langkah yang kita ambil boleh memberi kesan yang besar kepada sekeliling.

Sebagai contoh, penetapan untuk menangguhkan solat Jumaat di masjid dan surau adalah untuk membantu memutuskan rantaian COVID-19.

Ia bukanlah bermaksud anda tidak perlu melaksanakan solat pada waktu tersebut, namun ia perlu digantikan dengan solat Zohor.

Hal ini ada termasuk dalam beberapa dalil sahih yang disebut oleh Baginda SAW, iaitu

Maksud: “Sesiapa yang mendengar orang yang melaungkan azan, maka tidaklah yang keuzuran menghalangnya dari mengikutinya (hadir solat berjemaah).” Para sahabat bertanya: “Apa maksud uzur?” Rasulullah menjawab: “Ketakutan atau sakit.” (Hadis Riwayat Abu Daud, no. 551)

Ketakutan atau sakit adalah termasuk dalam perkara yang boleh menghalang seseorang daripada menghadiri solat Jumaat.

Ketakutan itu pula termasuk dalam tiga jenis, iaitu takut ke atas diri sendiri, takut ke atas harta benda dan takut ke atas ahli keluarga.

Disebabkan itu, dibolehkan untuk meninggalkan solat Jumaat dan juga solat berjemaah disebabkan ketakutan ke atas wabak ini. Ia adalah salah satu bentuk usaha kita untuk mengelakkan diri daripada dijangkiti, bukan ke atas diri kita sahaja namun ke atas sekeliling juga.

Justeru, hendaklah menggantikan ia dengan solat Zohor kerana ia adalah waktu asal solat tersebut. Beberapa dalil yang menyebut mengenai hal ini adalah;

#1 – Abdullah Ibn Mas’ud RA

وَمَنْ فَاتَتْهُ الرَّكْعَتَانِ فَلْيُصَلِّ أَرْبَعًا

Maksud: “Sesiapa yang terlepas dua rakaat (solat Jumaat), maka hendaklah dia melakukan solat sebanyak empat rakaat (Zohor).” (Al-Mu’jam Al-Kabir, 9545)

#2 – Imam Ibn Abi Syaibah

Beliau meriwayatkan daripada Abdullah ibn Mas’ud berkata

مَنْ أَدْرَكَ الْجُمُعَةَ فَهِيَ رَكْعَتَانِ، وَمَنْ لَمْ يُدْرِكْ فَلْيُصَلِّ أَرْبَعًا

Maksud: “Sesiapa yang terlepas rakaat yang terakhir (dari solat Jumaat), hendaklah dia melakukan solat empat rakaat (solat Zohor).” (Musannaf Abd Al-Razzaq Al-Son’ani, 5479)

#3 – Riwayat Abdullah bin Ma’dan

Abdullah ibn Mas’ud RA telah berkata kepada kami (orang perempuan):

Maksud: “Apabila kamu menunaikan solat pada hari Jumaat bersama imam, hendaklah kamu solat dengan solatnya (sebanyak dua rakaat). Dan Apabila kamu solat di rumah kamu, hendaklah kamu menunaikan solat empat rakaat (Zohor).” (Riwayat Ibn Abi Syaibah, Musannaf 5154)

#4 – Imam Al-Son’ani

“Pendapat yang mengatakan bahawa asal bagi hari Jumaat adalah solat Jumaat dan Zohor sebagai ganti kepadanya adalah pendapat yang marjuh. Bahkan, solat Zohor itu merupakan kefarduan yang asal yang difardukan pada malam Isra’, sedangkan solat Jumaat itu kefarduannya datang kemudian. Apabila ia (solat Jumaat) terlepas, maka wajib melakukan solat Zohor secara ijma’ dan ia (solat Jumaat) adalah ganti kepada solat Zohor.” (Subul Al-Salam, Al-Son’ani, 1/409)

Kesimpulan

Justeru, walaupun kita sudah lama tiada dihiasi dengan khutbah di hari Jumaat dan juga solat Jumaat, namun itu tidaklah bermakna kita boleh membiarkan waktu tersebut berlalu dengan begitu sahaja.

Ia hendaklah digantikan dengan solat Zohor dan penunaiannya adalah wajib.

Wallahu a’alam

Rujukan:
Mufti Wilayah Persekutuan

The post Dalil Yang Menyebut Wajib Tunai Solat Zohor Jika Ditangguhkan Solat Jumaat first appeared on Tazkirah.




No comments:

Powered by Blogger.