Angkara Cinta Papar Kisah Konflik Pergolakan Keluarga Dan Perebutan Cinta
Bagi mengukuhkan lagi kedudukan Astro selaku destinasi utama rantaian drama melayu terhebat masa kini, saluran Astro Prima berbesar hati membawakan sebuah lagi karya adaptasi melodrama berkisarkan konflik pergolakan keluarga serta perebutan cinta menerusi drama bersiri Angkara Cinta.
Drama bersiri terbitan syarikat produksi Juita Viden itu telah diadaptasi ke format kisah melayu daripada drama asal The Two of Us atau lebih dikenali dengan judul Tayong Dalawa, yang mana ia merupakan telenovela popular yang mendapat sambutan hangat di Filipina sekitar tahun 2009 lakonan Jake Cuenca, Gerald Anderson dan Kim Chiu.
Drama 70 episod arahan Hadith Omar ini turut mendapat sentuhan Michael Ang selaku penerbit serta barisan penulis skrip yang diketuai oleh Amor Rizan dan Rehal Nuharis.
Menariknya, Angkara Cinta membariskan tiga pelakon baharu yang berbakat besar sebagai teraju utama iaitu Hun Haqeem yang juga merupakan pengacara program Gempak TV, Meerqeen (finalis Hero Remaja 2020) serta Wanna Ali (Ada Apa Dengan Dosa).
Selain itu, ia turut dijayakan oleh barisan pelakon berpengalaman seperti Nina Juren, Normah Damanhuri, Sharifah Shahora, Roy Azman, Syazwan Zulkifly serta ramai lagi.
Angkara Cinta sudah mula ditayangkan menerusi slot Tiara secara eksklusif di saluran Astro Prima HD (105) dan Astro Prima (125) pada setiap hari Isnin hingga Jumaat, jam 6.00 petang serta turut boleh distrim menerusi aplikasi Astro GO dan on demand untuk pilihan yang lebih fleksibel. – KopiPlanet.com
The post Angkara Cinta Papar Kisah Konflik Pergolakan Keluarga Dan Perebutan Cinta appeared first on KopiPlanet.com.
No comments: