Ads Top

#64 – Konsep ‘Follow The Flow’ Yang Perlu Diperbaiki

Apabila berbicara soal kehidupan, ramai yang mempunyai matlamat dan tujuan yang telah mereka tetapkan sendiri. Tidak kurang juga, ada yang hanya ‘follow the flow’ kerana keadaan dunia sekarang yang menjadikan kita tidak bebas memilih.

Mana tidaknya, kegawatan ekonomi, masalah kesihatan, ditambah juga dengan pandemik yang belum sembuh membuatkan kita beranggapan bahawa follow the flow adalah jalan yang terbaik.

Namun, sebelum anda mengikut jalan itu, adakah anda telah berusaha terlebih dahulu untuk membaiki kehidupan anda?

Adakah anda telah meletakkan langkah yang jitu untuk mencapai matlamat yang pernah ditetapkan suatu ketika dahulu?

Bagi penulis sendiri, konsep follow the flow boleh diikuti, namun hanya apabila anda telah meletakkan usaha ke atas sesuatu.

Sama juga dengan reda. Ia hanya boleh hadir apabila anda telah berusaha. Tidak boleh meletakkan reda pada peringkat pertama langkah anda kerana itu seolah-olah anda sudah pasrah dan terima apa sahaja keputusan yang berlaku, walhal keputusannya belum keluar lagi kerana langkah juga belum bermula.

Hidup ini seperti kepingan puzzle yang belum disusun, kelihatan caca marba namun jika kita berjaya melengkapkannya, bukankah kita telah mendapat sebuah gambar yang sangat menarik sesuai dengan gambaran awal pada puzzle itu.

Begitulah dengan kehidupan kita; gambaran awal puzzle itu diibaratkan seperti matlamat yang kita letakkan. Kita boleh letakkan apa-apa sahaja matlamat dan angan-angan, kerana tiada bayaran untuk itu.

Namun, prosesnya itulah yang memerlukan kita untuk ‘try and error’. Jika kita tidak mencuba, bagaimana puzzle itu akan siap?

Bahayanya konsep ini ialah apabila anda tidak merasa cabaran dan anda tidak akan keluar daripada zon selesa sedangkan dengan cabaran inilah yang boleh membantu mengembangkan lagi diri serta menjadikan anda lebih mengenali diri sendiri.

Pada awalnya, kita merasa bahawa follow the flow adalah baik untuk diri, namun lama-kelamaan, ia boleh memakan diri sendiri seperti menunjukkan hilang minat terhadap sesuatu perkara.

Inilah yang ingin dielakkan. Anda perlu elak jadi seperti lalang yang hanya ikut sahaja arah angin bertiup sebaliknya keluarkanlah kunci hati agar pendirian anda tidak mudah goyah apabila ditimpa sesuatu.

#Menuju2021
#PE1H

The post #64 - Konsep 'Follow The Flow' Yang Perlu Diperbaiki first appeared on Tazkirah.




No comments:

Powered by Blogger.