Tutup Kepala Ketika Masuk Tandas – Adakah Adab Atau Sunnah
“Nak masuk tandas tu, tutuplah kepala dulu. Kan adab.”
Pernah tak ada orang tegur anda tentang perkara ini? Saya masih ingat, ustaz-ustazah sering menyebutkan mengenai salah satu adab untuk masuk tandas adalah dengan menutup bahagian kepala.
Kita belajar tentang pelbagai adab untuk masuk tandas. Namun, adab menutup kepala jarang ditekankan.
Adakah menutup kepala itu dikira adab semata-mata atau sunnah yang diajar oleh Baginda SAW?
Menerusi pandangan ulama, ia adalah sunnah kerana melihat kepada dalil yang telah diriwayatkan oleh ‘Aisyah RA mengenai perbuatan Baginda SAW yang pernah masuk ke tandas dengan menutup kepala.
Walau bagaimanapun, hadis tersebut dinilai daif (lemah) kerana wujud perawi yang dikritik statusnya.
Tetapi, sebahagian ulama juga berpendapat bahawa ia sebenarnya adab yang telah diamalkan oleh para sahabat dan umat selepasnya.
Hal ini adalah berdasarkan riwayat dari Imam Al-Baihaqi RA yang menyebut;
Maksud: “Diriwayatkan pada perbuatan menutup kepala ketika masuk ke dalam tandas daripada Abu Bakar as-Siddiq dan perkara ini sahih daripada beliau.” (Sunan al-Kubra, al-Baihaqi, 1/96)
Menurut perbahasannya lagi, zaman dahulu, tandas berada di luar rumah dan ada juga yang membuat hajat seperti di kawasan semak atau pokok (ketika bermusafir) kerana waktu itu arus kemodenan belum menempa.
Disebabkan itu, mereka menutup bahagian kepala dan juga memakai selipar ketika membuang hajat.
Itu adalah adab yang diamalkan sebagai tanda malu kepada Allah. Walaupun tiada dalil sahih tentang perbuatan Baginda SAW terhadap perkara ini, namun apabila melihat kepada amalan para sahabat yang pernah melakukannya, maka ia juga dikira sebagai adab yang boleh diikuti.
Sebagaimana pandangan Imam Nawawi yang menyebut – “Dianjurkan untuk tidak masuk ke tempat membuang hajat dengan kepala terbuka.” (Al-Majmu’, 2/93)
Jadi, di sini dapat kita faham bahawa hukum menutup kepala ketika masuk ke dalam tandas adalah sunat yang boleh diamalkan kerana ia adalah salah satu adab untuk masuk ke tandas.
Rujukan:
Mufti Wilayah Persekutuan
The post Tutup Kepala Ketika Masuk Tandas - Adakah Adab Atau Sunnah first appeared on Tazkirah.
No comments: