Ads Top

Semarak Cinta Kepada Rasulullah Dengan 5 Amalan Mudah Ini

12 Rabiul Awal merupakan tanggal bersejarah buat seluruh umat Islam kerana ia merupakan hari lahir tokoh ulung sepanjang zaman, Muhammad SAW.

Jika sebelum ini sambutannya pasti akan dilakukan secara meriah, dihiasi dengan selawat, zikir dan ceramah bagi mengingati Baginda SAW, namun suasana dan sambutan tahun ini sedikit berbeza.

Hal ini disebabkan Maulidur Rasul tahun ini jatuh di saat negara masih dilanda pandemik COVID-19 yang menyukarkan perhimpunan ramai dilakukan dengan perlu mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan.

Walaupun begitu, itu tidak menghalang kita untuk menyemarakkan cinta dan rindu kepada Baginda SAW kerana setiap dari kita sentiasa mempunyai ruang dan peluang untuk mengingati Rasulullah pada setiap saat.

Buka sahaja media sosial, saya pasti lambakan poster dan video untuk mengingati Baginda akan muncul ditambah lagi dengan program-program secara atas talian yang dilangsungkan.

Ini membuktikan bahawa kepesatan teknologi hari ini sentiasa membantu kita untuk kekal berhubung dan membolehkan kita mengingati Baginda SAW sepanjang masa.

Tidak salah untuk kita mengambil ruang dan peluang berselawat dan mengajak rakan-rakan sekeliling baik di alam maya mahupun tidak agar pahala dan kebaikan itu dapat dikongsi bersama.

Apa yang dapat anda lakukan untuk memperingati Baginda walau tanpa sambutan yang besar-besaran?

#1 – Memperbanyakkan selawat ke atas Rasulullah dan ahli keluarga

#2 – Menelaah sirah-sirah Baginda bagi menyemarakkan cinta

#3 – Mengajak rakan-rakan anda untuk turut berselawat ke atas Baginda

#4 – Menyertai program atau ceramah yang dianjurkan di atas talian

#5 – Mengamalkan sunnah Baginda SAW

Manfaatkan setiap aspek yang ada di sekeliling kita untuk meraikan Maulidur Rasul kali ini. Ia bukanlah bermaksud kita hanya menyemarakkan cinta kepadanya pada hari-hari tertentu sahaja, namun kelebihan diberikan pada hari ini sebagai pemangkin semangat untuk terus mencintai Rasulullah setiap hari.

The post Semarak Cinta Kepada Rasulullah Dengan 5 Amalan Mudah Ini first appeared on Tazkirah.




No comments:

Powered by Blogger.