Ads Top

Cik B Tampil Dengan Drama Sulung ‘Lelaki Lingkungan Cinta’

Anak perempuan kepada pengasas produk kecantikan, Datuk Seri Hasmiza Othman iaitu Nur Edlynn Zamilleen Muhammad Amin atau nama popularnya, Cik B akan tampil dengan drama sulung lakonannya berjudul Lelaki Lingkungan Cinta.

Aksi debut-nya itu dapat disaksikan menerusi drama tersebut yang akan bersiaran pada setiap Rabu hingga Jumaat di slot Lestary TV3, jam 9 malam bermula hari ini.

Drama arahan Emi Suffian ini turut dibintangi Naim Daniel, Shasha Abedul, Ismail Izzani, Shalma Eliana, Ruhainies, Rozita Che Wan dan Syazuwan Hassan.

Lelaki Lingkungan Cinta ini mengisahkan Adib (Naim Daniel), seorang jejaka lepasan SPM yang nakal mencuba untuk menawan hati si jelita, Esya (Shasha Abedul). Mereka dihantar ke sebuah kem jati diri di Gopeng, Perak oleh keluarga mereka sebagai aktiviti mengisi masa lapang.

Adib telah jatuh hati pandang pertama kepada Esya semenjak waktu pendaftaran lagi. Dia telah mencuba pelbagai helah dan ‘pickup-line’ untuk menambat hati Esya, tetapi gagal. Ini kerana Esya sentiasa dijaga oleh sahabat baiknya yang sentiasa sibuk dengan media sosial, Maria (Cik B) dan sepupu Esya yang ‘over protective’ iaitu Zambri (Ismail Izzani).

Walaupun Esya tidak melayannya, Adib tidak pernah menyerah kalah. Malahan Adib telah mengatur pelbagai strategi agar dia boleh mendekati Esya.

Keadaan menjadi semakin rumit apabila Zambri yang sebenarnya menyimpan perasaan terhadap Esya, mula menunjukkan perasaan cemburu. Esya pula mula membenci dan meluat dengan perangai Adib yang kebudak-budakan.

Esya pernah memarahi Adib agar Adib hentikan cubaannya untuk memikatnya, tetapi ia hanya meningkatkan daya pemikiran ‘kreatif’ Adib untuk mengenakan Esya.

Dapatkah Adib mengejar cintanya terhadap Esya? Jangan lupa saksikan drama terbitan Zeel Production ini pada setiap Rabu hingga Jumaat, jam 9 malam di TV3. – KopiPlanet.com

The post Cik B Tampil Dengan Drama Sulung ‘Lelaki Lingkungan Cinta’ appeared first on KopiPlanet.com.




No comments:

Powered by Blogger.