Bolehkah Suami Menggunakan Wang Isterinya
Pernahkah suami anda meminta wang daripada anda atau pernahkah secara senyap-senyap wang anda diambil olehnya?
Jika pernah, apakah hukum suami mengambil wang isteri? Kewangan merupakan salah satu perkara asas dalam rumah tangga.
Harta yang banyak tidak boleh membeli kebahagiaan, tetapi harta yang cukup boleh membantu mencukupkan keperluan yang lain.
Disebabkan itu, apabila kita melihat kepada statistik penceraian yang melibatkan pasangan bukan Islam, seramai 6910 kes dicatatkan sepanjang tahun 2018 dan 2971 kes itu berpunca daripada masalah kewangan.
Ia adalah masalah yang cukup besar dan membimbangkan kerana boleh mengundang kepada permasalahan-permasalahan lain seperti penderaan kanak-kanak dan masalah mental.
Entri ini bukanlah untuk menceritakan mengenai masalah penceraian tetapi untuk membuka mata semua bahawa kewangan yang tidak kukuh boleh mengundang kepada ketidakstabilan dalam rumah tangga.
Justeru, suami isteri memainkan peranan untuk saling membantu mengatasi masalah yang wujud.
Ditambah dengan episod COVID-19 yang melanda kita semua hari ini, kita tidak tahu apa sebenarnya yang semua orang sedang lalui.
Jadi, isteri dan suami perlu saling memahami dan bertoleransi dengan perkara yang mendatang. Masing-masing perlu memberikan sokongan moral agar rumah tangga dapat diharungi dengan baik.
Jadi, jika suami meminjam atau meminta wang isteri dan isteri meredainya, maka tidak ada masalah. Bahkan, ia menjadi salah satu ibadah buat si isteri kerana membantu memudahkan urusan suaminya.
Walau bagaimanapun, jika suami mengambil wangnya secara paksa ataupun tanpa pengetahuan isterinya, itu adalah perbuatan yang dilarang.
Hal ini kerana, ia termasuk dalam perbuatan menzalimi isterinya. Tidak halal mengambil wang atau harta tersebut tanpa keredaan isterinya.
Kisah Zainab Dan Suaminya, Ibnu Mas’ud
Ada sebuah kisah yang telah diriwayatkan daripada Abu Sa’id Al-Khudri RA, Rasulullah SAW pernah keluar pada hari raya (Aidul Adha atau Aidul Fitri) ke tanah lapang untuk menunaikan solat hari raya.
Selepas solat dilakukan, Baginda menyampaikan khutbah kepada jemaah. Baginda memerintahkan mereka untuk bersedekah.
“Wahai sekalian manusia, bersedekahlah! Wahai para wanita, bersedekahlah kerana aku benar-benar menyaksikan bahawa kalian yang paling banyak menghuni neraka.”
Para sahabat kemudian bertanya: “Mengapa begitu wahai Rasulullah?”
Baginda kemudian menjawab: “Kerana ramai di antara kalian yang mengutuk dan mensyukuri pemberian suami. Aku tidak pernah melihat orang yang kurang akal dan agamanya yang paling boleh mengalahkan akal-akal lelaki yang kukuh daripada salah seorang kalian, wahai kaum wanita.”
Kemudian Baginda mengakhiri khutbahnya. Apabila sampai di rumah, datanglah Zainab Ats-Tsaqafiyah. Beliau merupakan isteri kepada Ibnu Mas’ud.
Beliau meminta izin untuk bertemu dengan Baginda SAW. Kemudian apabila ditanya Zainab yang mana yang ingin menemuinya dan mengetahui bahawa beliau adalah isteri kepada Ibnu Mas’ud, lantas Baginda membenarkannya.
Zainab bertanya: “Wahai Rasulullah, engkau benar-benar telah memerintahkan pada hari (eid) ini untuk bersedekah. Aku sendiri juga ada perhiasan dan aku ingin bersedekah dengannya. Namun, Ibnu Mas’ud mengatakan bahawa dia dan anaknya lebih berhak diberikan sedekah tersebut olehku. Benarkah begitu?”
Baginda kemudian menjawab: “Ibnu Mas’ud benar. Suami dan anakmu lebih berhak diberi sedekah tersebut (berbanding dengan yang lain).” (Hadis Riwayat Bukhari, no. 1462)
Kesimpulan
Justeru, dapat disimpulkan di sini bahawa isteri boleh memberi wang atau harta kepada suaminya selagi ia reda atau dengan niat untuk membantu memudahkan urusan suaminya.
Namun, jika suami mengambil wang tersebut secara paksa mahupun tanpa izin isterinya, maka hukumnya adalah haram.
Wallahu a’alam.
Rujukan:
Rumaysho.com
The post Bolehkah Suami Menggunakan Wang Isterinya first appeared on Tazkirah.
No comments: