Ads Top

Bolehkah Solat Dengan Tidak Memandang Ke Tempat Sujud

Apabila solat, kita selalunya akan memandang ke tempat sujud. Namun, pernah tak terlintas di pemikiran anda, mengapa perlu memandang ke arah sujud dan tidak ke arah lain seperti depan mahupun mendongak ke langit?

Tahukah anda, sebelum ini, ada dalam kalangan umat Islam terdahulu yang menunaikan solat dengan memandang ke arah langit kerana meyakini bahawa Allah itu Maha Tinggi.

Sehinggalah turunnya wahyu yang menyuruh agar ditukar pandangan tempat solat mereka, iaitu hadis yang telah diriwayatkan oleh Anas bin Malik RA, Baginda SAW bersabda:

Maksud: “Apalah masalahnya dengan kelompok manusia yang mengangkat pandangan mereka ke langit di dalam solat mereka?”

Baginda kemudian menegaskan: “Hendaklah mereka berhenti dari melakukan hal tersebut atau akan dihilangkan penglihatan mereka (menjadi buta).” (Hadis Riwayat Bukhari, no. 750)

Jadi, ulama berpendapat bahawa hukum menunaikan solat dengan mendongak ke langit adalah makruh.

Mereka bersetuju bahawa sunat hukumnya menghalakan pandangan solat ke tempat sujud.

Apabila kita menunaikan solat dengan memandang ke tempat sujud, ia boleh membantu untuk mencapai khusyuk dan fokus terhadap solat yang sedang dilakukan kerana waktu itu pandangan kita hanya tertumpu ke arah titik yang satu.

Jika kita memandang-mandang ke depan mahupun ke atas, ia boleh mengganggu solat kerana mata kita cenderung untuk melilau ke arah sekeliling terutamanya jika solat di kawasan yang dihiasi banyak barang atau corak.

Imam Ibn Hajar juga menyebut daripada kenyataan Muhammad Ibn Sirin yang berkata:

Maksud: “Mereka dahulu (para sahabat) berpaling-paling dalam solat mereka sehinggalah turunnya firman Allah:

Mafhum: “Sesungguhnya, berjayalah orang-orang yang beriman, iaitu mereka yang khusyuk dalam sembahyangnya.” (Surah Al-Mukminun, 23:1-2)

Kemudian, mereka beralih semula ke arah solat mereka (iaitu solat dengan tekun) dan melihat ke arah hadapan mereka. Dan mereka menggalakkan untuk salah seorang mereka tidak melepasi pandangan mereka dari tempat sujud mereka.” (Rujuk Fath Al-Bari, Ibnu Hajar, 2/272)

Justeru, jumhur ulama menyimpulkan bahawa hukum tidak memandang ke tempat sujud ketika solat adalah makruh.

Hal ini adalah untuk mengelakkan diri daripada tidak fokus dan melanggar konsep solat yang memerlukan seseorang itu untuk tekun di dalamnya.

Wallahu a’alam.

Rujukan:
Mufti Wilayah Persekutuan

The post Bolehkah Solat Dengan Tidak Memandang Ke Tempat Sujud first appeared on Tazkirah.




No comments:

Powered by Blogger.