Ads Top

Bagaimana Menebus Kesalahan Terhadap Orang Yang Telah Meninggal Dunia

Jika melakukan dosa dengan Allah, kita boleh segera bertaubat dengan Allah sama ada dengan melakukan solat sunat taubat mahupun beristighfar kepadaNya.

Bahkan, ia boleh dilakukan pada bila-bila masa kerana Allah tidak meletakkan had waktu untuk hambaNya mencariNya selagi pintu taubat masih terbuka luas.

Namun, jika melakukan dosa dengan manusia, bagaimana pula? Jawapan yang sama yang boleh kita dapat, iaitu kita sendiri perlu meminta maaf dengan orang tersebut agar dosa-dosa itu boleh terhapus.

Sama ada mereka memberi kemaafan mahupun tidak, itu di pihak mereka. Yang paling penting ialah anda sendiri telah berusaha dan meminta maaf secara bersungguh-sungguh terhadap mereka.

Namun, bagaimana pula dengan mereka yang telah meninggal dunia? Sewaktu kehidupan mereka, anda ada mengumpat peribadi mereka atau anda ada mencuri harta mereka. Jadi, bagaimana untuk menebus semula dosa yang telah dilakukan?

Jika berada dalam situasi ini, ulama berpendapat bahawa anda perlu menebus dosa dengan memperbanyakkan amalan kebaikan.

Jika anda pernah mencuri wang atau hartanya, maka boleh dipulangkan kepada ahli keluarga atau warisnya. Namun, jika tidak ditemui, boleh juga melakukan amalan sedekah dengan nilai yang sama dengan barang yang dicuri dan diniatkan sebagai penebus di atas kesalahan yang telah anda lakukan.

Ataupun, jika ada melakukan dosa-dosa lain seperti mengumpat, berburuk sangka dan pelbagai lagi, maka boleh dilakukan amalan kebaikan dan diniatkan kepada si mati.

Syeikh Ibnu Hajar berkata:

Maksud: “Maka, jika lemah dari meminta halal daripadanya kerana tiada berita daripadanya atau telah mati, nescaya hendaklah dia bersedekah sebanyak mungkin untuknya dan jika tidak mampu, maka hendaklah perbanyakkan amal kebajikan dan bertaubat kepada Allah dan merendahkan diri kepadaNya. Mudah-mudahan diredai daripadanya pada hari kiamat nanti.” (Fatawa Ibn Al-Hajar)

Dan Imam Ghazali juga berkata:

Maksud: “Hendaklah dia meminta halal dari orang yang dia sakiti itu dengan lidahnya atau menyakitkan hatinya dengan perbuatan dari segala macam perbuatan. Maka, jika tidak dijumpai atau telah mati, maka telah putuslah pekerjaan atau tidak dapat melakukan apa-apa selain dengan memperbanyakkan amalan kebajikan untuk diambil sebagai penebus pada hari kiamat kelak.” (Az-Zawajir ‘ani Iqtiraf Al-Kabaair)

Dan setelah melakukan amalan-amalan kebaikan itu, pohonlah ampun kepada Allah agar Allah membantu dan memberi pengampunan kepada anda.

Wallahu a’alam.

Rujukan:
Mufti Wilayah Persekutuan

The post Bagaimana Menebus Kesalahan Terhadap Orang Yang Telah Meninggal Dunia first appeared on Tazkirah.




No comments:

Powered by Blogger.