Ads Top

#29 – Periksa Tanda Ini, Badan Anda Mungkin Perlukan Air Untuk Kekal Cergas

Pelan Efisien 100 Hari

Semoga anda sekalian dalam keadaan sihat sejahtera dan #jagadiri. Bagaimana dengan pelan anda untuk menjadi manusia efisien? Masih berkeadaan baik?

Ada masa dan ketika, kehidupan kita dilanda kesibukan akibat terlalu tekun dan tenggelam dalam kesibukan. Ia kadang-kadang boleh menyebabkan kita mudah terlupa untuk makan dan minum.

Kadang-kadang tidak terlupa pun, tetapi apabila memandang jarum jam; “Eh sudah terlepas waktu makan siang. Tak apalah. Sambung kerja semula.”

Apatah lagi jika berada dalam keadaan yang mendesak disebabkan tanggungjawab kerja yang lebih utama.

Masa itu, rasa lapar pun tidak disedari. Cakap pula pada diri, aku boleh tahan lapar lagi, sikit lagi nak siap, sikit lagi nak siap.

Tekak pula langsung tidak rasa kering, walhal tubuh masih perlukan kepada nutrisi-nutrisi dan bahan-bahan alami dalam pelbagai bentuk seperti karbohidrat, kalori dan cecair.

Usah remehkan keperluan semula jadi tubuh kita, kelak bahaya diri. Walaupun tidak dahaga, namun sedarilah bahawa tubuh kita perlukan air kerana ia sebenarnya sumber tenaga paling utama kepada badan.

Cuba ingat balik, adakah anda sudah basahkan kerongkong yang kering? kadang-kadang kita tidak sedar bahawa badan kita memerlukan air sehinggalah wujud tanda-tanda sebagai isyarat kepada anda untuk segera bertindak.

Jadi, pelan kali ini akan membantu anda memahami bahasa badan anda saat mengalami dehidrasi;

#1 – Sentiasa Lapar

Tadi sudah makan, tapi lapar lagi. Sarapan tadi sudah makan nasi lemak dan dua ketul kuih donut, tapi lapar lagi.

Senja tadi sudah makan nasi ayam, tapi pukul 10.00 malam, saya lapar lagi.

Menurut Alissa Rumsey dari American Academy of Nutrition and Dietetics, dehidrasi ringan seringkali disalah anggap sebagai lapar, sedangkan sebenarnya tubuh anda perlukan air.

Jadi, jika kerap kali anda merasa lapar sedangkan baru sahaja makan, apa kata gantikan ia dengan air untuk bantu seimbangkan keperluan tubuh anda.

#2 – Kerap Jatuh Sakit

Kerap jatuh sakit sehingga rekod cuti sakit anda boleh naik ke tahap membimbangkan pihak pengurusan. Ia merupakan tanda yang paling bahaya untuk diri anda.

Apa kata rawat dengan mencukupkan bekalan cecair untuk tubuh, kerana nutrien diagih-agihkan ke anggota badan dengan menggunakan air.

Ingatlah bahawa tubuh manusia mengandungi 60% air. Jadi jika ada kekurangan di situ, mulalah badan rasa tidak selesa di sana sini.

#3 – Nafas Berbau

Ada banyak sebab kenapa nafas kita berbau. Contohnya masalah gigi dan gusi, masalah penyakit dalam perut dan ada pelbagai sebab lain juga. Satu yang sering dipandang ringan, kekurangan air liur di dalam mulut.

Apabila air liur di dalam mulut berkurangan, nafas akan berbau.

#4 – Tekanan Perasaan

Tekanan perasaan, tekanan dalam diri, jiwa tertekan; semua itu memberi maksud yang sama, jiwa yang rasa tertekan dan terbeban kerana masalah-masalah yang dihadapi. Perkara-perkara ini tidak dapat dielakkan kerana ia adalah lumrah sebagai manusiawi.

Namun ketahuilah bahawa dehidrasi juga merupakan salah satu faktor penyumbang kepada permasalahan tekanan ini.

Apabila kita berada dalam keadaan stress, tubuh akan menghasilkan sejenis hormon, iaitu hormon stress.

Dengan meminum air seperti air mineral dan air kosong yang cukup untuk tubuh, ia secara tidak langsung boleh membantu mengurangkan kesan negatif yang berpunca daripada tekanan tadi.

Kesimpulan

Beringat-ingatlah kerana tubuh yang kekurangan air akan menghasilkan perkara-perkara yang tidak diingini seperti meningkatkan kadar degupan jantung, pening, badan dan otot yang akan mudah berasa lesu dan letih serta kesan paling ditakuti ialah apabila boleh menyebabkan pengsan.

Jadi, apa kata periksa terlebih dahulu keperluan diri anda. Jangan cepat terkejut kerana anda mungkin hanya perlukan air.

Untuk kali ini, latih diri anda dengan cukupkan air kepada keperluan badan supaya boleh membantu membekalkan kesihatan bukan sahaja kepada tubuh tetapi minda yang cerdas.

“Pure water is the world’s first and foremost medicine.”

Peribahasa Slovakia

#Menuju2021
#PE1H

Rujukan:
Solara Mental Health
5 Weird Signs You’re Dehydrated
Tip Menghindari Stress Melalui Pemakanan

The post #29 - Periksa Tanda Ini, Badan Anda Mungkin Perlukan Air Untuk Kekal Cergas first appeared on Tazkirah.




No comments:

Powered by Blogger.