#14 – Nak Menabung Tapi Sukar Istiqamah? Jom Ikuti Tips Ini
Pelan Efisien 100 Hari
“Dah lama tak masukkan duit dalam tabung ni.”
“Herm awal-awal je beria nak menabung, dah lama-lama ni malas pulak.”
Kenapa susah untuk istiqamah dalam menyimpan wang? Duit ada, tetapi lebih suka untuk menggunakannya atau mungkin ada juga yang wangnya hanya cukup-cukup untuk keperluannya.
Setiap orang pasti ada sebabnya sendiri, namun bagi saya menabung ialah amalan yang baik dan positif kerana ia adalah untuk simpanan masa depan dan boleh mengelakkan pembaziran.
Jadi, setiap perkara baik itu pasti ada halangannya dan ujian yang perlu ditempuhi kerana kita percaya bahawa ganjarannya sangat besar dan hebat.
Ya, itu adalah pernyataan yang betul. Menabung merupakan perkara yang baik. Sukar untuk berterusan dengan amalan tersebut merupakan salah satu ujian yang perlu ditempuhi.
Tapi jangan risau kerana setiap penyakit pasti ada ubatnya. Begitu juga dengan masalah ini. Pasti ada jalan keluar di sebaliknya.
Pelan kali ini akan berkongsi kepada anda mengenai bagaimana cara yang mudah dan ringkas untuk berterusan memasukkan wang anda ke dalam tabungan;
#1 – Letakkan wang ke dalam tabung yang boleh dilihat – Setiap hari, masukkan wang anda ke dalam tabung dan pastikan tabung itu tersorok tetapi senang untuk diingat.
Contohnya, tabung yang diletakkan di dalam almari. Setiap hari pasti anda akan membuka almari, bukan? Jadi, secara tak langsung fikiran anda akan berfikir mengenainya selagi anda belum memasukkan wang ke dalamnya.
#2 – Tetapkan apa yang mahu – Mengapa anda menabung? Dan berapa jumlah yang anda inginkan dalam tempoh masa yang ada?
Matlamat-matlamat inilah yang akan menghasilkan strategi untuk mengatur langkah anda.
Contohnya, anda nak menyimpan RM500 sebulan. Jadi berapa nilai yang perlu dimasukkan ke dalam tabung anda setiap hari? Atau adakah anda akan menarik terus daripada gaji bulanan anda supaya tidak perlu memikirkannya kelak?
Itu semua bergantung kepada kreativiti anda.
#3 – Buat Kira-Kira Perbelanjaan – Jangan menyimpan secara melulu tanpa melihat perbelanjaan keperluan anda.
Nak simpan banyak-banyak boleh, tetapi jangan sampai di akhir bulan, anda terpaksa korek semula tabungan tersebut.
Buat kira-kira dahulu dan utamakan yang penting untuk bulan tersebut serta pastikan ada back-up untuk waktu-waktu kecemasan.
#4 – Simpan rekod perbelanjaan – Kenapa kena simpan rekod perbelanjaan? Hal ini kerana ia boleh membantu anda trace semula ke mana wang anda pergi dan bersedia untuk bulan seterusnya.
#5 – Pengaruh luaran – Jaga juga pengaruh-pengaruh yang ada. Jangan terlalu kerap keluar kerana ia boleh mengganggu perjalanan menyimpan wang.
Dalam masa yang sama, lagi bagus jika ada orang sekeliling yang boleh mengingatkan anda setiap masa mengenai matlamat tersebut.
Sekurang-kurangnya, apabila anda hampir tersasar, ada orang yang boleh menarik anda semula ke jalan yang benar.
Kesimpulan
Sebenarnya, disiplin itu datang dari diri anda sendiri. Penyimpanan wang bergantung kepada diri anda. Ada orang yang sudah bermula di awal jalan namun disebabkan faktor-faktor luaran, rancangannya terbantut.
Tetapi, setiap yang bermula pasti kena ada pengakhirannya. Jadi, andalah yang perlu menentukan bagaimana ia akan berakhir.
#Menuju2021
#PE1H
The post #14 - Nak Menabung Tapi Sukar Istiqamah? Jom Ikuti Tips Ini first appeared on Tazkirah.
No comments: