Tanggungjawab Seorang Abang Kepada Adik Perempuan Apabila Telah Kematian Bapa
Ikatan yang akrab dengan adik beradik adalah satu nikmat yang perlu disyukuri. Sungguhpun masing-masih telah meningkat dewasa dan semakin berjauhan dengan satu sama lain, namun tetap perlu memastikan ikatan itu masih kukuh.
Lebih-lebih lagi apabila bapa yang selama ini menjadi tonggak keluarga telah meninggal dunia. Jika selama ini segala keperluan keluarga akan disediakan bapa, namun apabila bapa telah tiada, maka wali perlu mengambil alih pula tugas menjaga.
Turutan penjagaan wali pula bermula dengan ayah, kemudian datuk dan ayah kepada datuk (moyang), kemudian saudara kandung lelaki atau sebapa, kemudian anak saudara lelaki kandung, pakcik dari sebelah bapa, kemudian sepupu lelaki dari sebelah bapa, dan seterusnya mengikut turutan pewarisan.
Kali ini, mari fahami apa tugas seorang abang terhadap adik perempuan setelah kematian bapa.
Selalunya yang kita biasa dengar, apabila bapa meninggal dunia, maka abanglah yang akan menjadi wali perkahwinan bagi adik beradik perempuan yang masih ada. Tetapi bukan itu sahaja ya, seorang wali juga mempunyai tanggungjawab yang lain.
Wali adalah seorang yang diberikan wilayah iaitu kekuasaan ke atas orang lain. Dalam hal ini ia bermaksud pelaksanaan kuasa atau pengawasan ke atas orang di bawah tanggungannya.
Ada dua pembahagian tanggungjawab apabila seorang ayah meninggal dunia.
Wilayah Ke Atas Harta
Pertama, wilayah ke atas harta atau dalam erti lain, penjagaan atau pengawasan ke atas harta milik si anak.
Dalam bab harta, si abang tidak dipertanggungjawabkan untuk menguruskan harta milik adik-adiknya walaupun dia adalah seorang abang yang sudah dewasa.
Turutan wali ke atas harta menurut ulama Syafie bermula dengan bapa, kemudian datuk, kemudian pemegang amanah kedua-duanya, kemudian qadhi dan sesiapa yang setaraf dengannya.
Hak wali ke atas harta tidak diberi kepada abang (saudara kandung), pakcik, atau ibu kecuali mereka dilantik sebagai pemegang amanah kepada ayah atau qadhi.
Wilayah Ke Atas Diri
Manakala wilayah ke atas diri bermakna tanggungjawab mendidik, menjaga, mengawasi, memberi kelengkapan dari sudut pendidikan, kesihatan serta dalam urusan perkahwinan.
Secara umumnya, hak kekuasaan wali ke atas diri individu berakhir apabila mereka mencapai umur baligh iaitu 18 tahun menurut Islam. Tetapi bagi perempuan, hak wali ke atasnya berterusan sehingga dia berkahwin.
Bererti dia perlu mengawasi dan menjaga adik perempuannya daripada sebarang keburukan atau musibah.
Contohnya, dia tidak membiarkan adiknya tinggal berseorangan melainkan telah yakin bahawa tempat tersebut selamat, atau memastikan pergaulannya terbatas serta mematuhi syara’ dan sebagainya.
Bagi adik perempuan yang telah dewasa dan bekerja, maka si abang tidak wajib memberi nafkah kepadanya kerana telah mampu menyara diri. Namun, dia perlu memastikan adik perempuannya mempunyai keperluan dan tempat tinggal yang baik dan selesa.
Demikian tanggungjawab seorang abang terhadap adik perempuannya setelah kematian bapa. Kehilangan orang yang tersayang dalam keluarga memang suatu yang tidak dapat ditukar ganti, namun hidup perlu diteruskan dan kesedaran tanggungjawab itu perlu diambil berat.
Rujukan:
No comments: