Ads Top

Status Hadis – Mayat Menjadi Berat Jika Berbaring Ketika Azan

Pernah tak, sewaktu kecil apabila terdengar azan dikumandangkan, pasti akan ada usikan atau teguran dari kawan-kawan anda bahawa tidak boleh berbaring ketika azan.

Katanya, jika berbaring semasa azan akan menyebabkan mayat menjadi berat dan lebih tragisnya ia sukar untuk diusung ke kubur.

Kalau kita melihat kisah-kisah mengenai mayat yang berat, selalunya ia akan dikaitkan dengan amalan-amalan buruk yang dilakukan sepanjang hayatnya seperti derhaka kepada orang tua atau memburuk-burukkan Islam dan macam-macam lagi perbuatan dosa yang dilakukan.

Bahkan, ada juga beberapa telefilem yang pernah mengisahkan mengenai kejadian ini. Walaupun ia sekadar penceritaan yang berbentuk fiksyen, namun tidak salah rasanya untuk kita mengambil iktibar.

Tetapi, berbalik kepada mayat yang akan menjadi berat jika semasa hayatnya pernah berbaring ketika azan.

Hal ini sebenarnya ada dinukilkan oleh Abu Nua’im Al-Asbahani melalui Hilyah Al-Awliya’ Wa Yabaqat Al-Asfiya’ (2/174) dan juga Al-Dailami melalui Al-Firdaus Bi Ma’thur Al-Khitab (2/266).

“Muhammad bin Muammar menceritakan kepada kami yang berkata: Ahmad bin Ya’kub menceritakan kepada kami yang berkata: Al-Walid bin Salamah menceritakan kepada kami daripada Yunus bin Yazid daripada Ibnu Syihab al-Zuhri daripada Sa’id bin Musyyab daripada uthman bin Affan …”

إذا سَمِعْتُمُ النِّداءَ فَقُومُوا فإِنَّها عَزْمَةٌ مِنَ الله

Maksud: “Jika kalian mendengar seruan azan, maka bangunlah. Ia adalah hak dan kefarduan daripada Allah.”

Menerusi penbincangan ulama’, hadis ini dinilai sebagai hadis palsu kerana wujudnya perawi yang dihukum sebagai pendusta, iaitu Al-Walid bin Salamah.

Imam Ibnu Hajar Al-Asqalani dan Ibnu Abi Hatim juga menyatakan bahawa beliau adalah seorang pendusta.

Kesimpulan

Walau bagaimanapun, kita dapat faham bahawa azan merupakan salah satu syiar Islam yang perlu dihormati.

Sebagaimana kita perlu diam bagi menghormati azan, maka adalah lebih baik untuk kita bangkit ketika ia dikumandangkan.

Lagi elok jika kita bersegera membuat persiapan untuk menunaikan solat atau sama-sama menjawab azan dan berdoa selepasnya.

Wallahu a’alam.

Rujukan:
Mufti Wilayah Persekutuan

The post Status Hadis - Mayat Menjadi Berat Jika Berbaring Ketika Azan first appeared on Tazkirah.




No comments:

Powered by Blogger.