Permohonan Geran Khas Prihatin RM3,000 Untuk Peniaga Mikro Dibuka Semula Mulai 1 Oktober 2020
Kerajaan bersetuju untuk membuka semula permohonan Geran Khas PRIHATIN (GKP) kepada peniaga mikro bagi membantu mereka meringankan beban kewangan akibat penularan wabak Covid-19.
Perkara tersebut diumumkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menerusi siaran langsung Perutusan Khas Kita Prihatin oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, sebentar tadi.
Menurut Muhyiddin, permohonan GKP yang akan dibuka semula mulai 1 Oktober hingga 31 Oktober 2020 ini bertujuan bagi memastikan lebih ramai peniaga mikro yang layak tetapi masih belum berkesempatan untuk mendapatkan bantuan tersebut.
”Semasa turun ke padang dan bergaul dengan usahawan di peringkat akar umbi, saya menerima rungutan bahawa ada yang tidak menerima bantuan tersebut kerana tidak sempat untuk membuat permohonan.
”Terdapat juga peniaga yang tidak memenuhi syarat terdaftar sebelum 1 Januari 2020. Untuk memastikan lebih ramai peniaga mikro yang layak tetapi masih belum berkesempatan untuk mendapatkan GKP, kerajaan bersetuju untuk membuka semula permohonan GKP mulai 1 Oktober hingga 31 Oktober 2020,” kata beliau.
GKP ini dibuka kepada peniaga mikro yang berdaftar atau memegang lesen berniaga dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia atau Pihak Berkuasa Tempatan di mana bayaran disasarkan akan dibuat mulai 25 November 2020.
Terdahulu, di bawah pakej PRIHATIN PKS Tambahan, kerajaan telah membuka permohonan GKP pada 1 Mei 2020 hingga 15 Mei 2020 khusus untuk membantu golongan peniaga mikro yang terkesan akibat wabak Covid-19.
Kadar bantuan berjumlah RM3,000 bagi setiap peniaga mikro itu telah memanfaatkan 545 ribu peniaga kecil seluruh negara dengan penyaluran sebanyak RM1.63 bilion.
Pembukaan semula inisiatif GKP untuk permohonan baharu pada kali ini dijangka dapat memanfaat lebih daripada 200,000 peniaga mikro dengan melibatkan peruntukan sebanyak hampir RM 600 juta.
[LANGSUNG] – Perutusan Khas Kita Prihatin oleh PM Tan Sri Muhyiddin Yassin | 23 Sept 2020
[LANGSUNG] – Perutusan Khas Kita Prihatin oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin | 23 Sept 2020Posted by Bernama TV on Tuesday, September 22, 2020
Sumber: Siaran Langsung Perutusan Khas PM
The post Permohonan Geran Khas Prihatin RM3,000 Untuk Peniaga Mikro Dibuka Semula Mulai 1 Oktober 2020 appeared first on Siakap Keli.
No comments: