Ads Top

Menagih Hutang Dengan Cara Yang Terbaik

Apabila datang seseorang kepada anda untuk meminjam wang sama ada anda mengetahui tujuannya mahupun tidak, apa yang anda akan lakukan?

Sesetengah orang, mereka akan memberi pinjam kepada orang yang dirasakan mampu untuk membayarnya. Jika yang meminta itu sudah punya sejarah atau kisah-kisah seperti susah membayar hutang atau lupa jumlah yang dipinjamnya, pasti hati sedikit berat untuk memberikan.

Hal ini bukanlah bermaksud kededut atau tidak ingin membantu, namun buat sesetengah orang, wangnya juga cukup sekadar keperluannya sahaja. Kalau diberi pinjam, ia perlulah dibayar dalam tempoh yang ditetapkan bagi memudahkan urusan kedua-dua pihak.

Namun, buat anda yang sanggup memberi hutang kepada mereka yang meminta bantuan anda, ketahuilah bahawa perlakuan mulia anda itu merupakan sesuatu yang besar nilainya di sisi Allah.

Sebagaimana daripada Abu Hurairah RA, Baginda SAW pernah bersabda:

Maksud: “Barangsiapa meringankan sebuah kesusahan (kesedihan) seorang mukmin di dunia, Allah akan meringankan kesusahannya pada hari kiamat … Allah akan sentiasa menolong hambaNya selama mana hamba tersebut menolong saudaranya.” (Hadis Riwayat Muslim, no. 2699)

Jadi, apabila datang kepada anda kawan-kawan mahupun saudara rapat sendiri untuk meminjam wang, boleh cuba membantu mereka sekadar yang mampu.

Namun, perlu diingat, jangan membantu sehingga menggadaikan diri sendiri dan ahli keluarga. Yang paling penting ialah diri anda perlu diutamakan.

Berbuat Baik Ketika Menuntut Hutang

Apabila anda ingin menuntut hutang pula, tuntutlah dengan cara yang terbaik kerana ia termasuk dalam perlakuan memudahkan orang lain.

Dari Ibnu Umar dan Aisyah RA, Baginda SAW bersabda:

Maksud: “Sesiapa sahaja yang ingin meminta haknya, hendaklah dia meminta dengan cara yang baik-baik pada orang yang mahu menuaikan ataupun enggan menunaikannya.” (Hadis Riwayat Ibnu Majah, no. 1965)

Bagaimana cara menuntut hutang dengan baik? Di sini, terdapat 2 cara yang dikongsikan, iaitu;

#1 – Beri Tempoh Masa Yang Sesuai

Manusia berhutang kerana mempunyai kesulitan hidup yang mungkin kita sendiri tidak tahu apa yang sedang dialaminya.

Jadi, apabila dia meminta tempoh masa, maka cubalah untuk bertoleransi dan berilah tempoh yang dirasakan sesuai untuk kedua-dua pihak.

Jangan mendesak dan terburu-buru jika si peminjam masih belum mampu membayarnya. Jika anda juga sedang memerlukan wang dan jangka masa itu agak lama untuk dia membayarnya, maka cuba cari jalan lain sama ada dibayar secara ansuran atau sebagainya.

Mafhum: “Dan jika orang yang berhutang itu sedang mengalami kesempitan hidup, maka berilah tempoh sehingga ia lapang hidupnya dan (sebaliknya) bahawa kamu sedekahkan hutang itu (kepadanya) adalah lebih baik untuk kamu, kalau kami mengerti (pahalanya yang besar yang kamu akan dapati kelak).” (Surah Al-Baqarah, 2:280)

#2 – Meminta Jangan Sampai Memalukan

Dalam perkara ini, kita perlu melihat bahawa kita sendiri yang memilih untuk membantu orang tersebut dengan memberi hutang.

Jadi, jika kita mengetahui kesulitannya atau masalah yang sedang dihadapinya, maka jangan pula menyebarkan aibnya.

Perkara ini boleh terjadi terutama apabila kita sedang marah atau mengalami desakan hidup.

Jadi, elakkan daripada memalukan dan merendahkan orang yang sedang dalam kesulitan. Setiap masalah itu pasti boleh diselesaikan dengan cara yang terbaik.

Kesimpulan

Ada satu prinsip yang boleh kita pegang, iaitu – “Selagi mana kita mudahkan urusan orang, InsyaAllah, Allah akan mudahkan urusan kita.”

Jadi, dalam menagih hutang, cubalah untuk menagih dengan cara yang terbaik. Semoga di setiap kebaikan yang dilakukan, pasti akan ada ganjaran yang setimpal dengannya.

Rujukan:
Rumaysho.com




No comments:

Powered by Blogger.