Ads Top

Membaca Ayat Al-Quran Tentang Rahmat Dan Azab Allah – Ini Doa Yang Boleh Dibaca

Apabila kita membaca Al-Quran, kita melihat ada banyak ayat yang boleh difahami, antaranya ayat yang berbentuk ancaman, ayat yang memperlihatkan mengenai nikmat dan ganjaran buat mereka yang berbuat baik serta ayat yang menyebut mengenai azab.

Semuanya itu adalah sebagai salah satu peringatan yang diberikan sebagai salah satu asbab dan kesedaran kita untuk mengelakkan daripada melakukan maksiat dan memotivasikan manusia untuk melakukan kebaikan.

Namun, tahukah anda apa perkara sunat yang boleh dilakukan apabila bacaan kita sampai pada ayat-ayat ini?

Salah satunya adalah dengan membaca doa untuk memohon rahmat dan juga doa meminta perlindungan Allah daripada azab yang dibaca itu.

Ada sebuah hadis yang telah diriwayatkan oleh ‘Auf bin Malik, beliau berkata:

Maksud: “Aku telah mendirikan solat bersama dengan Nabi SAW pada suatu malam. Rasulullah telah mendirikan solat dengan membaca surah Al-Baqarah dan Baginda tidak membaca satu ayat yang berkaitan dengan rahmat Allah kecuali Baginda berhenti dan berdoa. Begitu juga, Baginda tidak membaca satu ayat yang berkaitan azab kecuali Baginda berhenti dan memohon perlindungan daripada Allah.” (Hadis Riwayat Abu Daud, 1/381)

Ada juga yang menyebutkan dalam riwayat lain bahawa, jika sesebuah ayat Al-Quran yang dibaca itu menyebut mengenai istighfar, tasbih mahupun zikir, maka disunatkan untuk membaca istighfar dan tasbih tersebut.

Jumhur ulama berpandangan bahawa hukum membaca doa, istighfar dan tasbih adalah sunat. Ia boleh dilakukan sama ada ayat tersebut dibaca di luar mahupun di dalam solat.

Hal ini juga adalah berdasarkan pandangan Imam Nawawi, iaitu:

Maksud: “Disunatkan doa, istiazah dan juga tasbih ini bagi setiap pembacanya tidak kira di dalam solat ataupun di luar solat. Ada golongan berpendapat dengan mengatakan bahawa: “Sunat hukumnya doa tersebut di dalam solat sebagai imam atau solat secara bersendirian atau juga solat sebagai makmum kerana doa tersebut merupakan doa, maka disamakannya seperti ucapan ‘amiin’ selepas daripada membaca surah Al-Fatihah.” (Al-Tibyan fi Adab Hamalatil Quran: 78)

Antara doa yang boleh dibaca apabila mendengar sesuatu ayat adalah:

#1 – Ayat mengenai rahmat: Boleh berdoa dengan meminta seperti ayat Al-Quran yang disebutkan itu. Contohnya nikmat syurga.

#2 – Ayat mengenai azab: اللهم إني أسألك العافية

#3 – Ayat yang mengagungkan Allah: سبحانه وتعالى atau تبارك الله رب العالمين

Justeru, apabila kita mendengar atau membaca sesebuah ayat yang menyebut mengenai azab atau rahmat Allah, kita seharusnya menghadirkan perasaan gerun atau semangat lagi untuk mentaati perintah Allah.

Salah satu caranya adalah dengan membaca doa sebagaimana yang telah diajarkan.

Rujukan:
Mufti Wilayah Persekutuan




No comments:

Powered by Blogger.