Daqmie Tak Kisah Lagunya Lebih Dikenali Berbanding Dirinya
Biarpun popular dengan lagu Yang Terindah, penyanyi Daqmie mengakui dia tidak terkilan sekiranya dirinya tidak dikenali ramai sebagaimana lagu nyanyiannya.
Menurut pemilik nama sebenar Azmee Abdul Manap, 48, ini, dia lebih selesa menjalani kehidupan secara low profile dan bersederhana.
“Sebenarnya saya lebih suka orang tak kenal saya, tetapi tahu lagu-lagu saya. Sekarang pun kalau saya pergi pasar ke, tak ada orang kenal… rasa seronok. Tapi kalau orang kenal saya pun, Alhamdulillah.
“Kelebihannya bila orang tak kenal, kita tak perlu nak terlalu menjaga penampilan dan bebas untuk berpakaian apa sahaja. Rimas juga kalau nak kena sentiasa pakai cantik sahaja.
“Bagi saya yang penting orang dalam industri muzik. Kita kena pastikan mereka kenal diri kita. Bukan saya tidak hargai peminat tapi tidak mahu sampai minat keterlaluan,” katanya.
Daqmie ditemui pada majlis pelancaran lagu terbaharunya, Sabda Kekasih yang berlangsung di pejabat Universal Music Malaysia, Petaling Jaya baru-baru ini.
Lagu yang diangkat sebagai runut bunyi telefilem Sabda Kekasih ini merupakan hasil gubahan Daqmie dan Alfa Booty manakala lirik pula mendapat sentuhan peribadi pelakon utama dan penulis skrip telefilem ini sendiri iaitu Aeril Zafrel dan Abban Namus.
Sabda Kekasih merupakan single terbitan Respected Citizen Sdn. Bhd dan Arteffects Sdn. Bhd dengan kerjasama Universal Music Malaysia sebagai pengedar.
Lagu ini sudah boleh didapati di semua pelantar muzik digital seperti Spotify, iTunes, KKBox, Deezer, Joox dan Apple Music sejak 1 September lalu.
Muzik video Sabda Kekasih kini boleh ditonton menerusi saluran Youtube Arteffects Media yang mula dimuat naik sejak 9 September lepas. – KopiPlanet.com
The post Daqmie Tak Kisah Lagunya Lebih Dikenali Berbanding Dirinya appeared first on KopiPlanet.com.
No comments: