Ads Top

Bagaimana Membersihkan Tilam Yang Terkena Air Kencing Anak

“Bersuci itu adalah antara ciri-ciri keimanan”

Demikian sabda Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Muslim.

Hakikatnya, manusia memang cenderung kepada kebersihan dan akan menjauhkan diri daripada kekotoran. Sesuai dengan perkara ini, Islam turut menekankannya dan memerintahkan manusia supaya bersuci dan menjaga kebersihan.

Dalam Islam, najis dapat dibahagikan kepada tiga kategori iaitu:

  1. Najis Mughallazah iaitu anjing dan babi serta apa jua daripadanya.
  2. Najis Mukhaffah merupakan air kencing bayi lelaki yang hanya minum susu ibunya sahaja dan berumur tidak lebih daripada dua tahun.
  3. Najis Mutawassitah pula adalah selain daripada kedua-dua jenis najis dia atas. Najis jenis ini adalah seperti air kencing, najis haiwan dan darah.

Seperti yang sudah kita maklum, setiap jenis najis di atas perlu dibersihkan dengan cara yang berbeza-beza. Namun yang akan difokuskan kali ini hanya cara penyucian najis mutawasitah sahaja.

Najis mutawassitah boleh dibahagikan kepada dua kategori iaitu:

Hukmiyyah: Hukmiyyah adalah najis mutawassitah yang tidak jelas bau, rasa dan warnanya. Cara menyucikan adalah dengan mengalirkan air pada tempat yang terkena najis tersebut.

Contohnya adalah air kencing yang telah kering dan tidak dilihat padanya kesan atau sifat-sifatnya. Maka boleh sekadar mengalirkan air padanya sekali sahaja.

Ainiyyah: Najis ini pula adalah najis yang kelihatan dan ada sifat-sifatnya sama ada bau atau rasa atau warna. Wajib membersihkannya sehingga hilang bau, rasa dan warna.

Berbalik kepada tajuk yang ingin dibicarakan kali ini – bagaimana untuk membersihkan tilam yang terkena air kencing sedangkan tilam itu besar dan berat.

Pertama, jika ia telah kering dan tidak dapat dilihat kesan atau sifat-sifatnya, maka cukup sekadar mengalirkan air sahaja.

Kedua, jika ia meninggalkan ain atau sifat-sifat seperti bau, rasa dan warna, maka hendaklah dihilangkan hal ini terlebih dahulu.

Seperti cara yang telah disyorkan oleh pihak Mufti Wilayah Persekutuan, anda boleh mengelap dan memindahkan air kencing yang bertakung di atas tilam semampu mungkin.

Anda boleh menggunakan kain, span atau wet/dry vacuum sehingga tidak ada lagi yang berbaki melainkan kawasan lembap yang tidak boleh dielakkan.

Kemudian, barulah alirkan air di atasnya sehingga hilang bau, warna dan sifatnya yang lain. Tetapi jika hanya berbaki warna atau bau sahaja, tidak mengapa dan dikira telah suci.

Tetapi jika masih ada bau dan warna sekali, hendaklah membersihkannya sehingga benar-benar hilang dengan menggunakan sabun, pencuci lain, atau menggosok dengan lebih kuat sehingga sifat-sifat yang dikatakan tadi hilang. Jika masih tidak hilang, maka ia dimaafkan dan sah solat di atasnya.

Bagaimana pula dengan air yang terserap ke dalam tilam selepas basuhan? Untuk keadaan ini, ia dikira tidak mengapa dan basuhan di bahagian luar sahaja sudah cukup. Pilihan terakhir yang ada, anda boleh menyandarkan sedikit tilam di kawasan berangin atau kawasan yang ada cahaya matahari supaya lebih mudah kering.

Wallahua’lam.

Rujukan:

Mufti Wilayah Persekutuan




No comments:

Powered by Blogger.