Allah Dan Malaikat Berselawat Buat Mereka Yang Solat Di Saf Pertama
Saf yang paling baik untuk orang lelaki adalah yang paling hadapan. Ini adalah sebagaimana yang diriwayatkan dalam beberapa hadis sahih, iaitu;
Maksud: “Sebaik-baik saf orang lelaki adalah saf yang terawal dan seburuk-buruk saf orang lelaki adalah yang paling belakang. Manakala, sebaik-baik saf orang perempuan adalah saf yang terakhir, manakala seburuk-buruk saf orang perempuan adalah yang paling hadapan.” (Hadis Riwayat Muslim, no. 440)
Yang dimaksudkan paling baik adalah ganjarannya lebih besar buat mereka yang mendirikan solat di saf yang pertama.
Dalam hadis di atas juga ada disebutkan mengenai seburuk-buruk saf. Yang dimaksudkan dengan seburuk-buruk saf adalah pahalanya kurang dan juga tidak mendapat kelebihan yang sama dengan mereka yang berada di saf-saf hadapan.
Banyak kelebihan dan ganjaran yang disebutkan buat mereka yang berada di saf pertama. Antara yang sering kita dengar ialah manusia akan mendapat ganjaran selawat dari Allah dan para malaikat.
Hal ini sebagaimana yang disebutkan dalam sebuah hadis sahih, iaitu;
إِنَّ اللَّهَ وَمَلاَئِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى الصَّفِّ الأَوَّلِ
Maksud: “Sesungguhnya Allah dan para malaikatnya berselawat ke atas saf yang pertama.” (Hadis Riwayat Ibnu Majah, no. 999)
Yang dimaksudkan dengan Allah berselawat ke atas manusia di sini adalah ketika Allah menurunkan rahmat dan keberkatan kepada hambaNya.
Imam Al-Munawi RA juga menyebut bahawa Allah dan malaikat beristighfar ke atas manusia.
Ulama mengatakan bahawa istighfar yang dimaksudkan adalah apabila para malaikat memohon keampunan kepada manusia dan Allah melimpahkan keampunanNya.
Kesimpulan
Merebut saf pertama itu diibaratkan seperti merebut ganjaran yang diberikan Allah.
Tak semua orang boleh datang awal ke masjid dan solat di saf hadapan, disebabkan itu manusia sentiasa diberi peringatan melalui hadis-hadis dan dalil yang ada.
jadi, buat anda yang diberi peluang untuk menunaikan solat berjemaah, ayuh, rebutlah saf hadapan!
Rujukan:
Mufti Wilayah Persekutuan
The post Allah Dan Malaikat Berselawat Buat Mereka Yang Solat Di Saf Pertama first appeared on Tazkirah.
No comments: