Ads Top

Pintalah Hati Yang Istiqamah Dengan Kebaikan

Saya mendengar beberapa orang rakan bersembang tentang filem superhero yang mereka sukai, The Dark Knight, di mana watak Joker dikembangkan dalam cerita dan bertindak menunjukkan kepada Batman bahawa semua orang boleh menjadi jahat.

Dalam tidak sedar, ia ada benarnya. Mengapa?

Kerana mungkin apabila diasak dengan keadaan mahupun bebanan tertentu, tidak mustahil manusia boleh bertindak di luar kawalan dan melanggar prinsip hidup yang dipegang selama ini.

Kerana hakikat hati sebenarnya berbolak balik dan sentiasa berubah-ubah. Kita tidak tahu apa yang mampu mencetuskan seseorang itu melakukan hal-hal yang buruk yang tidak dapat dibayangkan.

Cuba kita lihat banyak berita-berita yang keluar yang mengejutkan – ada yang sanggup mencederakan ahli keluarga dan orang tersayang kerana terlalu marah dan tidak dapat apa yang dimahukan. Ada yang ditangkap kerana mencuri dan merompak. Ada yang terlalu cepat terpengaruh dan disogok dengan wang.

Namun itu bukan alasan dan tidak bermakna kita tidak boleh mengawal. Syaratnya kita perlu memiliki iman yang kukuh yang boleh memandu hati ke arah yang baik.

Kerana itu Rasulullah SAW sentiasa menyuruh kita berdoa agar diberi ketetapan hati dalam melakukan kebaikan.

Pada suatu hari, Ummu Salamah pernah bertanya pada Rasulullah SAW,

يَا رَسُولَ اللَّهِ مَا لأَكْثَرِ دُعَائِكَ يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوبِ ثَبِّتْ قَلْبِى عَلَى دِينِكَ

“Wahai Rasulullah kenapa engkau lebih sering berdoa dengan doa, ‘Ya muqollibal quluub tsabbit qolbii ‘ala diinik”

(Wahai Dzat yang Maha Membolak-balikkan hati, teguhkanlah hatiku di atas agamaMu)

Nabi SAW menjawab,

يَا أُمَّ سَلَمَةَ إِنَّهُ لَيْسَ آدَمِىٌّ إِلاَّ وَقَلْبُهُ بَيْنَ أُصْبُعَيْنِ مِنْ أَصَابِعِ اللَّهِ فَمَنْ شَاءَ أَقَامَ وَمَنْ شَاءَ أَزَاغَ

“Wahai Ummu Salamah, yang namanya hati manusia selalu berada di antara jari-jemari Allah. Siapa saja yang Allah kehendaki, maka Allah akan berikan keteguhan dalam iman. Namun siapa saja yang dikehendaki, Allah pun bisa menyesatkannya.”

Setelah itu Mu’adz bin Mu’adz (yang meriwayatkan hadis ini) membacakan ayat,

رَبَّنَا لَا تُزِغْ قُلُوبَنَا بَعْدَ إِذْ هَدَيْتَنَا

“Ya Tuhan kami, janganlah Engkau jadikan hati kami condong kepada kesesatan sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami.” (Surah Ali Imran 3:8) (HR. Tirmidzi, no. 3522; Ahmad, 6/315 – Tirmidzi mengatakan bahawa hadis ini hasan. Al-Hafizh Abu Thahir mengatakan bahawa sanad hadis ini hasan)

Mungkit saat ini kita merasakan kita adalah orang yang baik, yang tidak melanggar peraturan, yang tidak akan melakukan keburukan, namun ia bukan hal yang pasti selama-lamanya.

Begitu juga dengan orang yang kita lihat jahat dan suka melakukan keburukan. Mereka juga mampu menjadi baik. Allah mampu menguji hati-hati manusia untuk melihat adakah kita benar-benar menjaganya dengan baik.

Justeru, amalkanlah selalu doa untuk menguatkan hati yang telah diajarkan oleh baginda di atas. Usah memandang enteng perihal hati. Hati-hati menjaga hati.




No comments:

Powered by Blogger.