Lepas Dengar Lagu Kelabu, Ramai Peminat Kongsi Masalah Jadi Mangsa Buli
Sejak dilancarkan pada bulan lalu, lagu Kelabu yang menampilkan gandingan Yonny Boii dan Azlan The Typewriter ternyata memberi impak yang tersendiri.
Azlan berkata, apabila lagu berkenaan dimuat naik di YouTube, ramai peminat yang telah memberi maklum balas positif.
“Apabila melihat komen-komen yang diberikan, ramai yang sukakan lagu ini. Selain itu, ada juga segelintir yang berkongsi pengalaman masing-masing apabila menjadi mangsa buli.
“Boleh dikatakan mesej dalam lagu Kelabu ini sampai kepada pendengar, terutama sekali mengenai isu buli yang sering berlaku dalam masyarakat,” ujarnya.
Azlan berkata demikian ketika ditemui semasa majlis pelancaran video muzik Kelabu yang berlangsung pada minggu lalu.
> Baca: Enam Rapper Berbeza Gaya Nyanyian Bergabung Demi Playaz
Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai babak terjun bangunan yang dilihat seperti mempunyai elemen bunuh diri pada babak akhir video muzik berkenaan, Azlan menyatakan ada sebab tersendiri mengenainya.
“Sebenarnya kami ingin menunjukkan bahawa kejadian buli ini boleh menyebabkan mangsa menjadi depresi sehingga mengambil tindakan membunuh diri.
“Jadi, pengajaran yang mahu disampaikan adalah betapa bahaya kejadian buli ini. Seboleh-bolehnya elakkan tindakan sebegini berlaku kepada orang sekeliling,” jelasnya.
Sementara itu, Yonny yang juga pencipta lagu berkenaan meluahkan rasa gembiranya apabila Kelabu kini sudah mula mendapat tempat di hati pendengar.
“Melihat kepada komen-komen yang diberikan terhadap lagu ini, barulah saya dapat menyelami perasaan mereka yang pernah menjadi mangsa buli.
“Namun begitu, apa yang menariknya ada antara mereka yang saling membantu antara satu sama lain dengan memberikan pandangan untuk mengatasinya menerusi ruangan komen dan saya melihat ia satu perkar yang positif,” jelasnya.
The post Lepas Dengar Lagu Kelabu, Ramai Peminat Kongsi Masalah Jadi Mangsa Buli appeared first on KopiPlanet.com.
No comments: