3 Cara Bersyukur Atas Nikmat Yang Diperoleh
Syukur dalam bahasa mudahnya adalah rasa berterima kasih kepada Allah atas nikmat yang telah diberikan dalam kehidupan kita. Ia bukan hanya nikmat yang bersifat material, tetapi bentuk-bentuk lain seperti kemudahan, keselamatan, pertolongan daripada orang di sekeliling apabila berlaku kesusahan dan lain-lain.
Kita digesa untuk bersyukur atas kesemua nikmat itu. Cuma persoalannya, apa yang perlu dibuat apabila hendak bersyukur? Berikut 3 elemen yang perlu ada:
#1- Mengakui Dalam Hati Bahawa Nikmat Itu Datang Daripada Allah
Cara paling asas untuk bersyukur adalah dengan mengakui di dalam hati bahawa nikmat itu sememangnya datang daripada Allah. Sama sebagaimana pengakuan tauhid yang juga perlu dilakukan dengan hati dan disebut dengan lisan dan dibuktikan dengan amal, rasa syukur juga perlu bermula daripada hati.
Seperti ungkapan Nabi Allah Sulaiman AS:
هَـٰذَا مِن فَضْلِ رَبِّي لِيَبْلُوَنِي أَأَشْكُرُ أَمْ أَكْفُرُ
Maksudnya: “Ini ialah dari limpah kurnia Tuhanku, untuk mengujiku adakah aku bersyukur atau aku tidak mengenangkan nikmat pemberian-Nya.” (Surah al-Naml 27:40)
#2- Mengucapkan Syukur Dengan Lisan
Seperti yang kita ketahui, antara ucapan dengan lisan adalah ucapan ‘Alhamdulillah’ yang bermakna; ‘Segala puji bagi Allah’.
Bukan itu sahaja kita juga boleh menyebut puji-pujian kepada Allah serta menyebarkannya dalam kalangan manusia.
Allah SWT berfirman dalam Surah al-Dhuha:
وَأَمَّا بِنِعْمَةِ رَبِّكَ فَحَدِّثْ
Maksudnya: Adapun nikmat Tuhanmu, maka hendaklah engkau sebut-sebutkan (dan zahirkan) sebagai bersyukur kepadaNya.
Imam Al-Qurtubi dalam mentafsirkan ayat ini berkata: “Sebarkanlah apa yang Allah SWT kurniakan kepada kamu dengan perasaan syukur dan pujian kepada Allah. Menyebut-nyebut pelbagai nikmat Allah dan mengiktiraf nikmat tersebut adalah satu bentuk kesyukuran.” (Lihat al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 20/102)
#3- Menggunakan Kenikmatan Itu Untuk Menggapai Redha Allah
Allah pernah berfirman kepada Nabi Daud agar beramal bagi menzahirkan rasa syukur.
اعْمَلُوا آلَ دَاوُودَ شُكْرًا
Maksudnya: “Beramallah kamu wahai keluarga Daud untuk bersyukur!” (Surah Saba’ 34:13)
Ibn Kathir berkata: Iaitu, Kami katakan kepada mereka: “Beramallah kamu sebagai tanda bersyukur atas segala nikmat yang diberikan kepada kamu dalam agama dan dunia…”
Abu Abd Al-Rahman Al-Hubuli dan Ibnu Abi Hatim meriwayatkan bahawa Muhammad bin Ka’ab al-Qurazhi berkata: “Syukur adalah takwa kepada Allah SWT dan beramal soleh.” Ini dikatakan bagi orang yang sedang berusaha melakukan perbuatan. Demikian juga keluarga Daud AS, mereka menunjukkan rasa syukur kepada Allah SWT dengan perkataan dan perbuatan. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 6/500)
Kesimpulan
Mulakan syukur daripada hati. Akuilah bahawa segalanya adalah daripadaNya. Syukur dapat menjadikan kita seorang yang lebih tahu menghargai dan tidak meremehkan hatta sekecil benda yang ada dalam hidup.
Rujukan:
No comments: