Ads Top

Yang Dimaksudkan Dengan Doa Memohon ‘Afiyah

Setiap orang pasti ada mengamalkan doanya yang tersendiri. Ada yang meminta supaya Allah mempermudahkan urusan, ada yang meminta agar dikurniakan rezeki yang mencukupi dan ada juga yang berdoa supaya Allah memberi kelapangan dalam hidupnya.

Walau apa jua doa yang disebut, niatkanlah dan berdoalah dengan sepenuh hati agar ia diterima. Yang paling penting ialah tidak tergesa-gesa dalam berdoa kerana setiap waktu yang Allah simpan untuk mengabulkan doa tersebut pasti ada hikmahnya.

Ada sebuah doa yang ditinggalkan oleh Baginda SAW dan dianjurkan untuk dibaca bagi meminta keselamatan dan kesejahteraan hidup. Doa tersebut berbunyi;

اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ الْعَافِيَةَ فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ ، اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ الْعَفْوَ وَالْعَافِيَةَ ، فِي دِينِي ، وَدُنْيَايَ ، وَأَهْلِي ، وَمَالِي ، اللَّهُمَّ اسْتُرْ عَوْرَاتِي ، وَآمِنْ رَوْعَاتِي، اللَّهُمَّ احْفَظْنِي مِنْ بَيْنَ يَدَيَّ ، وَمِنْ خَلْفِي ، وَعَنْ يَمِينِي ، وَعَنْ شِمَالِي ، وَمِنْ فَوْقِي ، وَأَعُوذُ بِعَظَمَتِكَ أَنْ أُغْتَالَ مِنْ تَحْتِي

Maksud: “Ya Allah, sesungguhnya aku memohon padaMu keampunan dan keselamatan (‘afiah) di dunia dan akhirat. Ya Allah, sesungguhnya aku memohon padaMu keampunan dan keselamatan (‘afiah) dalam agamaku, dunia, keluarga dan hartaku. Ya Allah, tutupilah aibku dan berilah ketenteraman di hatiku. Ya Allah, jagalah aku; dari depan, belakang, kanan, kiri dan atasku. Serta aku memohon perlindungan dengan keagunganMu agar tidak disambar dari bawahku.” (Hadsi Riwayat Abu Daud, no. 5074)

Al-‘Afiyah bermaksud keselamatan dan kesejahteraan pada agama daripada segala fitnah, keselamatan kepada badan daripada segala penyakit sama ada fizikal atau rohani dan juga kesejahteraan kepada keluarga dan harta.

Syeikh Al-Mubarakfuri menyebut, ia adalah benteng Allah kepada hambaNya. Jadi, mereka yang berdoa dengan doa ini bermaksud mereka sedang memohon perlindungan daripada Allah atas segala yang diniatkan.

‘Afiyah di sini bukan sahaja bermaksud perlindungan daripada perkara zahir tetapi juga yang batin. Jika kita sakit perut, kita boleh makan ubat untuk hilangkan penyakit tersebut. Namun, jika kita sakit hati, apa ubatnya?

Justeru, perlindungan yang dimaksudkan dalam doa ini meliputi semua aspek. Hidup ini bukan berlandaskan kebahagiaan fizikal semata-mata, tetapi juga ketenangan jiwa dan kegembiraan dalam melalui kehidupan sehari-hari.

Wallahu a’alam.

Rujukan:
Rumaysho.com




No comments:

Powered by Blogger.