Ads Top

Ulasan Buku – Rasul Mulia, Umat Mulia, Akhlak Mulia

Mari kita kembali ke zaman silam. Zaman yang mempunyai ramai tokoh-tokoh ulama yang cukup disegani dan dikasihi. Di mana ingin kita temui mereka? Mereka telah lama meninggalkan kita. Jasad mereka telah lama berada di dalam tanah tetapi jasa mereka sentiasa mekar harum mewangi dan masih hidup sehingga kini.

Jangan bimbang kerana kita masih ada warisan penulisan. Kita masih boleh membaca kisah-kisah mereka melalui banyak kitab silam. Dan yang masa kini, ia hadir dalam sebuah buku yang bertajuk Rasul Mulia, Umat Mulia, Akhlak Mulia. Hasil penulisan Dr Umar Muhammad Noor.
Dalam buku ini akan diungkap beberapa kisah yang cukup memberi kesan pada hati setiap pembaca. InshaAllah.

Pengenalan Buku

Buku ini menghimpunkan banyak kisah teladan dan pengajaran tentang para ulama dan orang-orang terdahulu. Kisah mereka bukan kisah biasa-biasa tetapi penuh ilmu dan hikmah yang dapat kita ambil perhatian.

Di setiap kisah pasti akan diselit pengajaran dan nasihat daripada penulis buku. Ia memudahkan para pembaca untuk lebih memahami dan mengambil iktibar dari kisah yang dipaparkan.

Buku ini bukan sekadar membawa kisah menarik tentang ulama tetapi turut membawa ayat-ayat al-Quran, hadis-hadis Rasulullah SAW, ucapan para ulama serta ia akan dikaitkan dengan kehidupan kita sekarang.

Insha Allah, dengan membaca buku ini dapatlah kita mengenali beberapa ulama yang mungkin kita tidak tahu atau terlepas pandang. Kisah mereka dapat dijadikan sebagai tazkirah dalam kehidupan kita. Mereka juga turut diuji, apatah lagi kita pasti tidak akan terlepas dari ujian dan cabaran hidup.

Saya ingin memetik beberapa kata menarik yang terdapat dalam buku ini mengenai perlunya kita mengikuti kisah dan akhlak para ulama.
Imam Abu Hanifah pernah berkata yang bermaksud:

“Kisah-kisah yang menceritakan tentang kisah ulama dan keindahan akhlak mereka lebih aku sukai daripada memperbanyak fiqah. Ini adalah kerana kisah-kisah ini mengandungi (pengajaran) adab-adab mereka.”

Ibrahim bin Habib bin asy-Shahid bercerita, Ayahku berpesan:

“Wahai, anakku! Datanglah kepada para fuqaha dan ulama. Belajarlah daripada mereka. Ambillah adab-adab, akhlak-akhlak dan tingkah laku mereka. Sesungguhnya itu semua lebih aku sukai daripada banyak menulis hadis.”

Kisah-Kisah Menarik Yang Terdapat Dalam Buku Ini

Buku ini mempunyai 30 bab dan setiap babnya mempunyai beberapa kisah menarik yang rugi jika kita terlepas untuk membacanya. Antaranya:

Lalat

Dalam buku ini mempunyai bab yang tajuknya adalah lalat. Kisah tentang lalat yang selalu kita nampak kecil. Ya, kehadirannya kadang dihalau jauh kerana selalu menganggu kita ketika makan. Tetapi tahukah kita bahawa ada seorang manusia yang masuk ke syurga kerana seekor lalat dan kerananya juga ada yang masuk ke dalam neraka. Allahurabbi. Untuk lebih mengetahui lebih lanjut bolehlah membaca buku ini.

Kisah Nabi dan Sahabat Nabi Pun Ada

Tidak dilupakan kisah-kisah menarik yang berlaku di zaman Nabi dan zaman para sahabat Nabi Muhammad SAW. Kisah Nabi Muhammad SAW dan sahabat Nabi SAW yang tawaduk dan berakhlak mulia turut disertakan dalam buku ini. Tidak disangkal lagi akhlak Baginda dan para sahabatNya amat mempesona pada sesiapa yang melihat.

Kisah Ulama Yang Berani

Yang benar dikatakan benar dan yang salah dikatakan salah. Tidak boleh yang salah dianggap benar dan yang benar dianggap sebaliknya. Ikutilah kisah ulama yang berani menghadapi orang besar yang mempunyai kefahaman serta pemikiran yang berbeza dengan ulama. Lihatlah bagaimana mereka berani menyatakan kebenaran, dan mereka tahu bahawa apa-apa perkara sahaja boleh berlaku. Tetapi mereka yakin dengan Allah SWT. Takut kepada Allah SWT bukan kepada makhluk.

Kesimpulan

Alhamdulillah, dengan kehadiran buku ini dapatlah kita mengambil sekurang-kurangnya sedikit ‘kemanisan’ serta ‘madu’ keindahan akhlak para ulama terdahulu yang boleh kita pelajari dan contohi. Walau mereka telah lama meninggalkan kita, jasa dan kisah mereka tetap menjadi sebutan umat manusia sehingga sekarang.

Buku ini cukup sesuai dibaca oleh sesiapa sahaja yang mahu mengenali para ulama dan kisah mereka. Ayatnya mudah difahami dan boleh diikuti. Boleh dibaca selepas solat fardu bersama ahli keluarga atau dibaca sebelum tidur. Insha Allah, buku ini membawa pakej yang boleh dikatakan agak lengkap untuk mengajar tentang adab.

Waallahu a’lam.




No comments:

Powered by Blogger.