Ads Top

Tertekan Dengan Kehidupan Sendiri Jadi Inspirasi Black Hasilkan ‘Sabar’

Hampir beberapa tahun ‘kering’ dengan lagu baharu, kini penyanyi Black atau nama sebenarnya, Hanifah Md Hanafiah, 33, tampil dengan single terbaharu berjudul Sabar.

Sabar yang merupakan ciptaan sepenuhnya daripada Black telah dihasilkan sejak empat tahun lalu dan ia diinspirasikan daripada kisah hidup penyanyi itu sendiri.

“Lagu ini 100 peratus hasil ciptaan saya. Sepanjang 12 tahun dalam industri, saya curahkan semua perasaan dalam lagu ini yang mana sudah disimpan selama empat tahun.

“Alasannya, ketika itu saya tidak yakin dengan diri untuk menghasilkan lagu sendiri. Namun, sepanjang tempoh itu saya ada memperdengarkan lagu ini kepada rakan penyanyi lain. Maklumbalas diberikan, mereka cakap kenapa saya tidak rakamkan lagu ini.

“Apabila lagu ini siap sepenuhnya dan dengar semula, mereka siap boleh hafal lagi. Itu menambahkan lagi keyakinan saya untuk mengeluarkan lagu ini. Malah, rakan bukan dalam industri pun suka dan jatuh cinta dengan lagu ini,” katanya.

Menurut Black, Sabar mengisahkan bagaimana seseorang bersabar dengan kehidupan dilalui samada kesabaran itu beroleh kegembiraan atau sebaliknya.

“Sewaktu menulis lagu ini diakui saya dalam keadaan tertekan dengan kehidupan sendiri. Jadi, mesej yang ingin disampaikan adalah sabar.

“Boleh jadi, sabar itu satu penantian dan permulaan dalam kehidupan. Mungkin ada yang bersabar hingga hujungnya peroleh kebaikan. Begitu juga sebaliknya.

“Sabar ini juga boleh dikaitkan dalam perhubungan percintaan, persahabatan, kekeluargaan dan apa saja. Kiranya, siapa yang mendengar lagu ini boleh dikaitkan dengan diri masing-masing,” katanya.

Single Sabar terbitan dan edaran Nova Music Malaysia dilancarkan di semua platform digital muzik seperti Spotify, Apple Music, Joox, KKBox dan Deezer bermula hari ini. Muzik video Sabar juga sudah boleh ditonton menerusi saluran Youtube Nova Music. – KopiPlanet.com

No comments:

Powered by Blogger.