Ads Top

Masih Wajarkah Penggunaan Rotan Dalam Mendidik Anak-Anak

Adakah masih wajar hukuman rotan diberikan kepada anak-anak dalam era modenisasi ini? Kalau dilihat kepada perkembangan mental anak-anak sekarang adalah berbeza berbanding dengan generasi terdahulu.

Rotan, dimarahi dan ditegur secara terus itu adalah makanan biasa buat anak-anak terdahulu. Kadang-kadang, apabila dilihat itulah yang menjadikan sesetengah daripada kita hari ini tidak mudah cengeng dan kental dalam menjalani kehidupan.

Namun, berbalik kepada situasi anak-anak hari ini. Kalau dirotan, katanya ibu bapa tidak menyayanginya. Apabila dimarahi, mereka merasakan itu adalah perkara yang memalukan dan pelbagai lagi persepsi negatif yang bermain di fikiran mereka sedangkan tujuan dan niat utama merotan adalah untuk mengajar dan mendidik. Sudah tentulah itu sebagai salah satu tanda sayangnya ibu kepada anak mereka.

Namun, wajarkah kasih sayang itu diberikan dalam bentuk sedemikian kepada generasi kita hari ini?

#1 – Pertama, kita perlu melihat akan hikmah merotan dalam Islam. Islam mengajar ibu bapa untuk mendidik anaknya dengan penuh hemah dan bijaksana.

Ia bukanlah bermaksud ibu bapa perlu memanjakan anak-anak mereka sehingga membesar menjadi seorang yang lembik dan tidak reti bergantung kepada diri sendiri.

Tetapi, bijaksana mendidik mengikut situasi. Jika mereka salah, maka tegurlah. Jika mereka melawan, maka pukullah bukan untuk marah atau melepaskan geram tetapi pukul dengan kasih sayang dan sekadarnya.

مروا أولادكم بالصلاة وهم أبناء سبع، واضربوهم عليها وهم أبناء عشر

Maksud: “Ajar anak kamu solat ketika umurnya 7 tahun dan sekiranya mereka enggan, maka pukul mereka apabila mencecah 10 tahun.” (Hadis Riwayat Abu Daud, no. 495)

Beri masa kepada anak anda untuk menyerap teguran dan nasihat yang anda berikan. Bukannya kali pertama teguran diberi sudah disekalikan dengan rotan.

Ada sebab kenapa anak-anak disuruh menunaikan solat pada umur 7 tahun dan dirotan pada umur 10 tahun jika tidak melaksanakannya. Itu adalah untuk memberi ruang kepada mereka belajar mengenai solat dan memahaminya.

Jadi, beri ruang kepada mereka untuk belajar. Tegur dan nasihat dahulu dengan cara yang baik. Yang paling penting ialah cari tahu apa sebab di sebalik perbuatan negatif mereka.

#2 – Yang kedua, rotan anak-anak bukan disebabkan perasaan benci atau marah tetapi untuk mendidik. Itu niat yang sebenarnya. Apabila berasa marah, elakkan merotan mereka atau berada dalam situasi itu. Bimbang jika keadaan semakin parah. Biarkan sehingga perasaan itu reda dan hukumlah mereka seperti yang diajarkan.

Jangan menghukum secara keterlaluan dan jangan dipukul pada tempat yang tidak sepatutnya seperti kawasan muka atau kepala.

لا يجلد فوق عشر جلدات الا في حد من حدود

Maksud: “Tidak boleh merotan melebihi 10 kali melainkan pada hukum hudud.” (Hadis Riwayat Abu Daud, no. 4491)

#3 – Seterusnya, kita perlu faham bahawa peredaran zaman mengubah banyak aspek terutamanya cara mendidik. Banyak didikan yang diajar dari generasi ke generasi. Namun, tidak semua boleh digunakan. Ia perlu disesuaikan seiring zaman.

Cara didikan yang ada boleh digunakan dan diubah melihat kepada zaman, situasi masalah yang berlaku dan perkembangan emosi anak-anak.

Jadi, yang paling penting ialah jadilah ibu bapa yang memahami keperluan emosi anak-anak anda.

#4 – Haram hukumnya memukul anak-anak dengan keterlaluan sehingga menimbulkan kecederaan. Islam menolak sebarang bentuk kekerasan walaupun ia adalah untuk perkara yang baik.

Anak-anak belajar melalui teladan. Jika mereka membesar dalam suasana yang tragis, maka tidak mustahil suatu hari nanti perkembangan mental mereka boleh terjejas. Ia juga boleh mempengaruhi perangai mereka nanti.

Kesimpulan

Wajar atau tidak menggunakan rotan itu adalah bergantung kepada bagaimana cara anda menguruskan situasi dan melihat kepada faktor umur anak anda sendiri.

Jika mereka sudah dewasa barulah anda ingin menggunakan kekerasan, keberhasilan itu mungkin terlihat tipis kerana mereka sudah sebati dengan perlakuan itu.

Seharusnya, zaman remaja mereka merupakan zaman di mana anda perlu belajar menjadi kawan kepada mereka. Melentur buluh biarlah dari rebungnya.

Boleh untuk menggunakan rotan sebagai tujuan mendidik dan bukan untuk mencederakan fizikal atau emosi mereka. Namun, selagi boleh mengelakkan kekerasan, seeloknya dielakkan. Jadilah ibu bapa yang kreatif dalam mendidik.

Wallahu a’alam.

Rujukan:
Mufti Wilayah




No comments:

Powered by Blogger.