Jadi Individu Cemerlang Dengan Surah Al Mukminun
Al-quran sudah banyak membicarakan dan memberikan panduan kepada kita tentang bagaimana untuk menjadi individu yang cemerlang. Panduan inilah yang seharusnya kita ikuti untuk membimbing kita ke arah kejayaan yang cemerlang di dunia mahupun di akhirat nanti. Antaranya di dalam Surah Al-Mukminun, Allah memberikan beberapa sifat-sifat orang mukmin yang akan mendapat kejayaan dan meraih Firdausi.
#1- Khusyuk Dalam Solat
Antara sifat pertama orang mukmin yang akan mendapat kejayaan adalah sebagaimana Allah berfirman di dalam surah Al-Mukminun ayat ke-2:
الَّذينَ هُم في صَلاتِهِم خٰشِعونَ
“(Iaitu) orang-orang yang khusyuk di dalam sembahyangnya”
Khusyuk di dalam solat adalah sifat pertama yang seharusnya ada di dalam diri kita. Khusyuk di dalam solat bukan bermaksud dengan hanya kita menggerakkan anggota badan untuk solat. Malah hati dan pemikiran kita seharusnya fokus dan tertumpu kepada solat yang dilakukan sahaja.
Masih ramai orang yang solat namun masih mencuri di dalam solatnya. Solat yang dilakukan tidak bersungguh-sungguh dan dalam keadaan malas, terlalu banyak pergerakan anggota badan malah bacaan juga masih tunggang-langgang.
Fikiran pula masih disibukkan dengan hal-hal lain sehinggakan solat yang dilakukan hanyalah kosong sahaja. Perlunya untuk kita menghadirkan rasa pengagungan dan kecintaan kepada Allah dengan menumpukan sepenuh hati hanya kepada Allah sahaja. Bacaan di dalam solat juga harus difahami dan diteliti setiap bait-bait perkataan yang dibaca.
Di dalam ayat berikutnya Allah berfirman:
وَالَّذينَ هُم عَنِ اللَّغوِ مُعرِضونَ
“Dan orang-orang yang menjauhkan diri dari (perbuatan dan perkataan) yang tiada berguna”
#2- Meninggalkan Perbuatan Yang Sia-sia
Sifat yang kedua untuk menjadi orang mukmin yang berjaya ialah dengan menjauhkan dan meninggalkan perbuatan dan perlakuan yang sia-sia. Ramai orang mengisi masa lapang mereka dengan aktiviti yang tidak berfaedah.
Dunia hari ini hakikatnya dipenuhi dengan pelbagai perkara yang boleh melalaikan kita namun Allah SWT menjanjikan kejayaan kepada mereka yang mampu untuk menahan diri melakukan perkara yang sia-sia samada dari segi perbuatan mahupun perkataan.
Fitnah menfitnah, cacian, makian dan hinaan serta ejekan juga sedang menjadi trend terkini yang mana masyarakat tidak mengambil endah dan kisah tentang perlakuan tersebut. Malah di media sosial sendiri pada masa ini aktiviti sebegini menjadi semakin rancak. Manusia tanpa segan silu mengeluarkan kata-kata kesat dan saling menjatuhkan orang lain.
Orang-orang mukmin yang berjaya ialah mereka yang meninggalkan perbuatan sedemikian malah sentiasa menunjukkan akhlak-akhlak yang terpuji di dalam setiap perkataan dan perbuatan yang dilakukan.
Di dalam ayat berikutnya, Allah menjelaskan sifat orang mukmin yang ketiga iaitu:
#3- Membersihkan Harta
وَٱلَّذِينَ هُمْ لِلزَّكَوٰةِ فَٰعِلُونَ
“Dan mereka yang berusaha membersihkan hartanya (dengan menunaikan zakat harta itu)”
Zakat ialah pembersihan pada diri sama ada dari segi harta mahupun jiwa. Orang yang berjaya juga ialah orang-orang yang menjaga kewajipan zakat harta dan jiwanya. Sentiasalah ringan-ringankan tangan untuk sentiasa bersedekah dan memberi kepada orang lain.
Bersedekah tidak harus menunggu sehingga kita kaya, tetapi ketika kita merasa kekuranganlah maka ianya waktu yang tepat untuk kita memberi. Ianya menanamkan sifat keikhlasan dan kesyukuran di dalam diri kita terhadap pemberian Allah dan menunjukkan kita memahami bahawa setiap rezeki itu adalah datangnya daripada Allah SWT. Bukankah dengan kita bersyukur Allah SWT akan menambah lagi nikmat kita?
Di samping itu, pembersihan jiwa juga harus dilakukan dengan membersihkan diri kita daripada segala sifat-sifat syirik dan mazmumah yang lain. Usahakan sedikit demi sedikit untuk melakukan perubahan di dalam diri kita. Berusaha untuk meninggalkan satu persatu sifat-sifat mazmumah yang bersarang di dalam hati.
Tanamkan kesabaran, keikhlasan dan ketaatan kepada Allah sebagai asas jati diri yang utama. Rendahkanlah diri dan sentiasa menuntut ilmu pengetahuan sepanjang masa.
#4- Menjaga Kemaluan Kecuali Bagi Mereka Yang Halal
Sifat keempat untuk menjamin kejayaan dan menggapai Firdausi ialah melalui firman Allah di dalam ayat keenam di dalam surah al-mukminun:
وَٱلَّذِينَ هُمْ لِفُرُوجِهِمْ حَٰفِظُونَ
إِلَّا عَلَىٰٓ أَزْوَٰجِهِمْ أَوْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَٰنُهُمْ فَإِنَّهُمْ غَيْرُ مَلُومِينَ
“Dan mereka yang menjaga kehormatannya (5). Kecuali kepada isterinya atau hamba sahayanya maka sesungguhnya mereka tidak tercela (6).”
Sifat orang mukmin yang keempat ialah mereka yang dapat menjaga kemaluannya kecuali kepada mereka yang halal baginya. Kini, dapat kita lihat banyak kes-kes perzinaan yang berlaku secara berleluasa. Malah makin ramai wanita-wanita yang memperagakan diri mereka untuk tatapan para lelaki, ditambah dengan cara hidup yang bebas, bertukar-tukar pasangan dan sebagainya.
Perzinaan banyak menimbulkan kesan-kesan keburukan yang dahsyat. Dengan perzinaan banyak kes-kes pembuangan bayi dilaporkan. Anak-anak tidak terjaga dan terbiar malah kekeliruan nasab keturunan lebih-lebih lagi ibu bapa sendiri tidak mengakui anak-anak hasil daripada perzinaan yang dilakukan.
Kes-kes penceraian, pergaduhan di dalam rumah tangga menjadi tidak kurang hebatnya akibat daripada perzinaan. Oleh itu mereka yang meninggalkan perbuatan tersebut adalah mukmin yang berjaya. Setiap manusia mempunyai nafsu syahwat dan ianya adalah fitrah seorang manusia. Namun nafsu syahwat perlu dikawal dan dijaga agar tidak menimbulkan fitnah.
Allah memberi kebebasan kepada hambanya untuk mendatangi hanya buat mereka yang halal baginya. Allah SWT sesekali tidak menghalang fitrah manusia yang memerlukan teman dan pendamping buat diri. Maka, Teguhkan diri dengan ilmu agama dan dekatilah dengan orang-orang soleh yang mampu membimbing kita ke arah kebaikan dunia dan akhirat.
#5- Menjaga Amanah Dan Janji
Di dalam ayat berikutnya. Allah menjelaskan dua sifat orang mukmin di dalam satu ayat iaitu mengenai amanah dan janji:
وَٱلَّذِينَ هُمْ لِأَمَٰنَٰتِهِمْ وَعَهْدِهِمْ رَٰعُونَ
“Dan mereka yang menjaga amanah dan janjinya”
Untuk menjadi mukmin yang berjaya juga ialah dengan menjaga amanah dan janji yang dilafazkan. Ramai orang yang sanggup untuk memikul amanah namun tidak semua yang mampu memikul amanah dengan sebaiknya.
Setiap dari kita mempunyai amanah yang harus diselesaikan dan antara amanah kita yang utama ialah dengan mengabdikan diri kita kepada Allah SWT dan beribadah kepadaNya. Tidak kiralah kita sebagai anak, ibu bapa, pelajar, pekerja atau apa sahaja tugas kita maka kesemua tugas itu haruslah dilaksanakan dengan mengikut cara dan tuntutan yang sepatutnya.
Begitu juga halnya dengan janji-janji yang diberi harus ditunaikan. Di dalam sebuah hadis Rasulullah SAW tentang sifat-sifat orang munafik iaitu:
“Daripada Abu Hurairah RA bahawasanya Rasulullah SAW bersabda, “Tanda-tanda orang munafik ada tiga, iaitu apabila dia berbicara dia dusta, apabila berjanji tidak ditepati dan apabila diberi amanah dia khianati” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Ayat ke 9 Surah Al Mukminun menjelaskan sekali lagi perihal solat yang mana menunjukkan kepada kita bahawa solat itu ialah ibadah yang terpenting yang harus diambil cakna. Solat itu sebagai tiang agama. Bagi sesiapa yang meremehkan solatnya maka seolah-olah dia telah meruntuhkan agamanya. Allah berfirman:
وَٱلَّذِينَ هُمْ عَلَىٰ صَلَوَٰتِهِمْ يُحَافِظُونَ
“Dan mereka yang tetap memelihara sembahyangnya”
Pada ayat ke 9 Surah Al Mukminun, Allah menjelaskan lagi perihal solat yang mana Allah menjanjikan kejayaan pada orang-orang mukmin yang menjaga dan memelihara solatnya.
Apakah sebenarnya maksud memelihara solat ini? Iaitu solat yang dikerjakan haruslah konsisten dan mengerjakannya haruslah di waktu yang tepat pada masanya dan tidak dilengah-lengahkan solat untuk menyelesaikan tuntutan selain daripadanya.
Memelihara solat juga haruslah dilihat di dalam kesempurnaan rukun-rukun dan kewajipan solat di dalam mengerjakannya malah bermula daripada saat kita mengambil wuduk lagi harus dijaga dan diambil perhatian. Laksanakanlah solat-solat sunat sebagai ibadah tambahan yang melengkapi solat-solat wajib yang dilaksanakan. Begitu juga dengan zikir-zikir selepas solat yang mana amat penting untuk diketahui, dipelajari serta difahami.
Ayuh pula kita menumpukan sepenuh hati dan jiwa kita pada ayat di dalam surah al mukminun yang berikutnya: Allah berfirman pada ayat ke 10 dan 11:
أُو۟لَٰٓئِكَ هُمُ ٱلْوَٰرِثُونَ
ٱلَّذِينَ يَرِثُونَ ٱلْفِرْدَوْسَ هُمْ فِيهَا خَٰلِدُونَ
“Mereka itulah orang-orang yang berhak mewarisi. Yang akan mewarisi Syurga Firdausi; mereka kekal di dalamnya.”
Allah memberi jaminan kepada kita bahawa mereka yang mengerjakan semua kebaikan ini akan mewarisi syurga Firdaus malah kekal di dalamnya buat selamanya. Tiada yang utama daripada jaminan yang diberikan Allah SWT kepada kita. Allah SWT juga melayakkan kita untuk menempah tiket di syurga yang tertinggi iaitu syurga Firdaus. Maka tidakkah lagi kita mahu untuk terus berusaha menggapai kejayaan yang dijanjikan ini?
No comments: